My Add

Tuesday 26 February 2013

Kes amuk: Polis terima panggilan kecemasan

PUTRAJAYA, ISNIN, 25 Februari, 2013:  Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian amuk bersenjatakan parang panjang di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Julai tahun lalu.

Koperal Ruzain Husain, 53, penyelia pusat kawalan itu menyatakan, dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang secara cemas memaklumkan terdapat seorang lelaki dan wanita mengamuk di pintu masuk kompleks berkenaan.

Ujarnya, dia menerima laporan awal berhubung kejadian itu pada pukul 2.29 petang, 9 Julai tahun lalu dan mengarahkan Unit Pasukan Khas IPD Putrajaya (Task Force 1) yang bertugas berdekatan supaya bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, selang beberapa minit, Task Force 1 yang tiba di situ memaklumkan melalui walkie-talkie bahawa kedua-dua suspek melakukan serangan menyebabkan cermin tempat duduk pemandu kereta Proton Waja yang mereka naiki pecah.

Ruzain menyatakan demikian pada hari pertama perbicaraan terhadap Muhdalena Ahmad, 28, yang didakwa melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.

Saksi pendakwa ketiga itu dalam keterangannya turut menyatakan, Task Force 1 juga melaporkan anggota Unit Kereta Peronda (KL 517) yang tiba di tempat kejadian bertindak melepaskan tembakan ke arah kedua-dua suspek.

Katanya, Task Force 1 melaporkan suspek lelaki terkena dua das tembakan di bahagian ari-ari dan tangan kiri manakala wanita tersebut terkena tembakan di bahagian paha kanan.

Menurut Ruzain, Task Force 1 selanjutnya meminta bantuan ambulans yang kemudian membawa kedua-dua suspek ke Hospital Putrajaya.

Dalam kejadian itu, lelaki yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi', Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, terbunuh manakala wanita tersebut iaitu Muhdalena dihantar ke wad kecemasan.

Ruzain berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian tersebut ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman.

Saksi tersebut menceritakan rentetan kejadian amuk itu berdasarkan kepada laporan awal yang diterimanya ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh dalam pemeriksaan utama.

Sebelum perbicaraan ditangguhkan, Kalmizah meminta kepastian mahkamah berhubung keperluan melawat lokasi kejadian yang merupakan kawasan larangan agar semua pihak mendapat gambaran sebenar insiden tersebut.

Hakim Mohd. Kamil Nizam akan menentukan esok sama ada semua pihak perlu melawat tempat kejadian.

Selain dua tuduhan tersebut, Muhdalena didakwa tidak mematuhi perintah anggota polis yang sama agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Dia turut didakwa tidak mematuhi perintah Menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini.

Empat pertuduhan itu mengikut Kanun Keseksaan; Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Perbicaraan bersambung esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment