My Add

Tuesday 26 February 2013

Pelabur asing yakin polisi negara
 
 *MUKHRIZ Tun Mahathir mewarnakan replika Creanova 2013, sempena majlis perasmian Creanova 2013 Apresiasi Program Intervensi Pembangunan Pengetahuan Bagi Firma (MyKe) di Subang Jaya, semalam, sambil diperhatikan Azman Hashim (kiri).

Oleh KAMIL MASLIH
KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Februari, 2013: Keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia didorong oleh pelbagai polisi ekonomi berkesan dilaksanakan kerajaan walaupun dalam waktu krisis ekonomi global.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, keyakinan itu turut disokong pakar-pakar ekonomi antarabangsa termasuk Economist Intelligence Unit (EIU) yang mengiktiraf kejayaan program transformasi negara.

Jelas Mukhriz, beliau percaya masih banyak pelabur luar terutama dalam sektor minyak dan gas serta perkhidmatan menunggu peluang serta mengambil kedudukan tunggu dan lihat sehingga keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dicapai.

"Kita (Malaysia) antara terbaik dengan pertumbuhan pesat keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.6 peratus tahun lalu dan ini pencapaian amat membanggakan dalam iklim ekonomi global yang tidak memberangsangkan.

"Malaysia telah berjaya mengharungi cabaran dan timbul keyakinan pelabur, cuma sekarang dinantikan adalah pengesahan bahawa dasar sedia ada akan berterusan dengan kembalinya Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Creanova 2013 Apresiasi Program Intervensi Pembangunan Pengetahuan Bagi Firma (MyKe) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelabur luar sedang menunggu kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baharu yang lebih besar daripada rakyat untuk melonjakkan lagi ekonomi negara.

Mukhriz menempelak mana-mana pihak yang mendakwa ekonomi Malaysia berjaya dirangsangkan secara semulajadi tanpa peranan dan polisi yang digerakkan oleh kerajaan.

"Kita telah menghasilkan pelbagai polisi dari Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi sehingga kita mencatatkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan.

"Selain itu, keperluan rakyat turut diutamakan terutamanya menerusi pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bukan mudah untuk mengimbanginya tetapi kita berjaya mengatasi krisis ekonomi global tahun 2009," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai program MyKe, Mukhriz berharap 200 firma perusahaan kecil dan sederhana yang terbabit dalam program itu dapat meningkatkan keupayaan perniagaan supaya lebih berdaya saing di peringkat tempatan dan global.

Program yang digerakkan MPC dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu bertujuan meningkatkan kandungan pengetahuan firma supaya lebih kompetitif menerusi alatan kecekapan perniagaan serta aplikasi pengetahuan dan amalan yang meningkatkan produktiviti.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment