My Add

Sunday 10 February 2013

Melayu pengemis politik

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

 *DR. MAHATHIR Mohamad berucap di hadapan hadirin dalam program santai bersama beliau di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR, SABTU, 09 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan masyarakat Melayu kini sebagai 'pengemis politik' yang memerlukan sokongan kaum lain untuk menjaga kepentingan mereka.

Katanya, perkara itu berlaku kerana kekuasaan politik Melayu kini semakin terhakis apabila mereka terpecah kepada tiga parti berbeza iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perpecahan itu, menurutnya, berlaku kerana para pemimpin pembangkang terutama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ghairah mengejar kekuasaan serta 'berebut-rebut' menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata, perpecahan itu menjadikan kelompok-kelompok Melayu semakin banyak dan muncul sebagai golongan minoriti politik sehingga sukar untuk menjaga kelangsungan mereka seperti di zaman penjajahan British dan Jepun dahulu.

"Melayu kini terpecah kepada tiga dan lawan sesama kita, jadi macam Arab apabila Sunni lawan Syiah, mereka bukan lawan 'orang putih' dan ini membuatkan Barack Obama (Presiden Amerika Syarikat) dan David Cameron (Perdana Menteri Britain) tepuk tangan.

"Di Malaysia macam itu juga, kita berpecah, jadi lemah, jadi pengemis dan perlu sokongan orang lain untuk nak jadi pemerintah," katanya ketika berucap dalam program 'Perlembagaan Malaysia: Masa Depan Keselamatan Negara' anjuran Kelab Pembangunan Insan Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, rakyat negara ini perlu sentiasa bijak menangani sesuatu isu menggunakan akal dan tidak terikut-ikut dengan emosi bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini.

Merujuk kepada pembentukan Malaysia katanya, rakyat secara amnya bersetuju dengan Perlembagaan Persekutuan yang turut memberikan hak kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India yang dibawa masuk British bagi membangunkan ekonomi negara.

Menurut beliau, persefahaman yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak dahulu sehingga sekarang, berjaya mengekalkan keamanan negara sehingga ke hari ini.

"Kalau nak selamatkan negara, kita perlu kepada sebuah kerajaan yang kuat. Kita perlukan calon kita menang asalkan (calon) Barisan Nasional (BN), kita kena pastikan dia menang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment