My Add

Friday 1 February 2013

N janji bina litar lumba, tanggung kursus kahwin

ALOR SETAR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita baik untuk golongan muda negeri ini apabila sebuah litar lumba bakal dibina di manakala kursus perkahwinan RM100 seorang bagi pasangan pengantin ditanggung kerajaan Pusat.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua tawaran tersebut merupakan sebahagian daripada pelbagai rancangan yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Banyak lagi hendak dibuat... tunggu manifesto yang akan kita lancarkan khusus untuk Kedah. Kita akan tunjuk kepada rakyat. Masa dah tiba... lima tahun (Pas memerintah) dah cukup, masa perubahan sudah sampai," katanya ketika merasmikan Program Himpunan Orang Muda Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Timbalannya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusoff dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Badrul Hisham Hashim.

Najib berkata, Pas Kedah pada pilihan raya lalu pernah berjanji untuk membina litar lumba untuk orang muda jika mentadbir negeri tetapi kemudahan itu masih belum dilaksanakan walaupun hampir lima tahun memerintah.

"Mana dia litar? Saya nak janji pada saudara-saudari, kita akan masukkan dalam manifesto BN di Kedah buat litar lumba. Janji kita janji ditepati bukan seperti janji pembangkang," jelasnya.

Beliau berkata, Majlis Belia Negeri Kedah mengemukakan cadangan kepadanya supaya kerajaan membantu golongan muda yang hendak berkahwin dalam hal kursus praperkahwinan.

"Kita akan masukkan dalam manifesto juga untuk tanggung RM100 bagi setiap kursus dengan syarat untuk perkahwinan pertama dan sekali sahaja. Saya akan luluskan peruntukan nanti," katanya.

Najib berkata, BN adalah kerajaan yang sentiasa mendengar suara orang muda kerana berhasrat menjadikan hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Katanya, sebab itu kerajaan BN mempunyai dasar yang serasi dengan golongan muda termasuk dasar transformasi bertujuan menyediakan legasi dan peninggalan untuk orang muda.

Najib berkata, kerajaan BN tidak menyuruh orang muda melakukan perkara yang merosakkan negara.

"Saya baru balik dari bumi Gaza, Palestin. Saya boleh lihat keruntuhan sebuah negara tetapi dilakukan musuh mereka. Jangan pula kita rosakkan negara kita sendiri. Kita akan jadi negara maju dalam masa tujuh tahun akan datang. Inilah janji kita," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment