Najib, Hsien Loong lancar projek ikonik Malaysia-Singapura
NUSAJAYA, SELASA, 19 Februari, 2013: Dua projek kesejahteraan iaitu Afiniti Medini dan Avira di Medini, Iskandar Malaysia di sini, menjadi simbol hubungan rapat Malaysia-Singapura dan disifatkan sebagai satu permulaan kepada peningkatan jumlah pelaburan yang signifikan dari negara republik itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek itu merupakan realisasi daripada perbincangan mengenai sebuah projek yang bakal menjadi ikon kedua-dua negara dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Putrajaya awal tahun lalu.
Ketika itu kami membicarakan tentang projek yang ikonik dan kami setuju untuk membangunkan sesuatu yang memberi makna sebenar ikonik. Daripada apa yang saya lihat hari ini, projek itu menepati ciri-ciri tersebut dan menjadi mercu tanda yang memberi faedah kepada mereka yang terlibat.
Semasa perbincangan bilateral pagi ini, kami menekankan kepentingan kumpulan perindustrian untuk memberi galakan berterusan kepada pelabur Singapura berpindah atau membuat pelaburan baru di Iskandar Malaysia. Saya yakin dengan sokongan kerajaan Singapura, sektor swasta akan memberi maklum balas yang positif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Hsien Loong selepas menyempurnakan pecah tanah kedua-dua projek tersebut di Medini Mall, di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan menteri Kabinet kedua-dua negara; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Exco kerajaan negeri; Pengerusi Pulau Indah Ventures (PIV) Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Pengerusi Nuri Merdu Sdn. Bhd., Datuk Azizan Abd. Rahman.
Hadir sama, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Azman Mokhtar dan Ketua Pengurusan Portfolio Temasek Holdings Private Ltd. (Temasek), Dilhan Pillay Sandrasegara dan Ahli Lembaga Pengarah PIV, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.
Afiniti Medini merupakan projek Urban Wellness bernilai RM350 juta di kawasan seluas 207 hektar yang disasarkan menjadi destinasi serantau keluarga, pelancong dan profesional.
Projek itu dimajukan oleh PIV yang merupakan syarikat usahasama Khazanah Nasional dan Temasek dengan masing-masing memegang 50 peratus saham.
Avira pula sebelum ini dikenali sebagai Resort Wellness bernilai RM300 juta dibangunkan oleh Nuri Merdu dengan pegangan ekuiti antara PIV dengan Eastern & Oriental Berhad.
Tujuannya, mewujudkan alternatif kepada kehidupan bandar melalui gaya hidup seperti percutian sepanjang tahun dengan persekita ran yang penuh dengan ketenangan dan pemandangan hijau dalam kawasan seluas 85 hektar. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment