My Add

Tuesday 26 February 2013

Pembangkang celaru agihan kerusi

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
 KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Februari2013: Kegagalan pakatan pembangkang memutuskan pengagihan kerusi di kira-kira 100 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menunjukkan pergeseran antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, kegagalan itu juga menunjukkan keadaan kelab-kabut dalam persediaan pembangkang menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Seperti ada masalah mereka untuk memilih sama ada calon DAP, Pas atau PKR bertanding di satu-satu kawasan dan mungkin juga ada pertelingkahan berebut menjadi calon dalam setiap parti itu.

"Secara langsung, ini juga menunjukkan pakatan pembangkang amat kekurangan calon berwibawa untuk bertanding, apatah lagi bagi mewakili rakyat di sesebuah kawasan Parlimen mahupun DUN dan keadaan ini amat berbeza dengan kesiapsiagaan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan pembangkang yang kini selesai di kira-kira 700 kawasan, berbanding 798 bilangan kesemuanya di seluruh negara.

Ketua Jentera Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli ketika memberikan amanat sempena konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam hari ini memberitahu mengenai perkembangan itu, di samping menjanjikan setiap kerusi ditandingi dibuat atas formula satu lawan satu.

Baru-baru ini, senario politik negara menyaksikan Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada bekerjasama dengan pembangkang, pergaduhan antara PKR dan DAP di Johor serta gelaran tokong diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng oleh timbalannya, Datuk Dr. Mansor Othman dan semua ini dikatakan berkaitan soal pengagihan kerusi pembangkang.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir memberitahu, kegagalan pembangkang menentukan agihan kerusi sehingga kini akan menjejaskan prestasi mereka dan memberi kelebihan besar kepada BN.

"Keadaan ini boleh menimbulkan sabotaj dalam kalangan parti pembangkang kerana jika ada perebutan di sesuatu kerusi, parti yang tidak terpilih biasanya akan pasti melakukan sesuatu yang tidak baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment