My Add

Tuesday 26 February 2013

Polis Jasin tumpaskan geng curi motosikal Mat Tong Tehel

JASIN, SELASA, 26 Februari, 2013: Polis berjaya menumpaskan geng 'Mat Tong Tehel' yang aktif melakukan jenayah curi motosikal di sekitar Melaka sejak 2010 dengan tertangkapnya 12 anggota kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang pemandu lori yang juga ketua kumpulan itu dikenali sebagai Mat Tong Tehel berusia 21 tahun di rumahnya di Tanjung Labuh Tehel pada 10.40 pagi, 17 Februari lepas.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis berjaya mengesan dan menahan 11 lagi anggota kumpulan yang merupakan pekerja kilang, buruh dan seorang pelajar politeknik di Negeri Sembilan berusia antara 19 hingga 35 tahun dalam tempoh seminggu.

"Hasil siasatan terperinci polis berjaya menemui semula 17 rangka motosikal yang telah dileraikan dalam beberapa sungai di sekitar Jasin selain sebuah motosikal yang belum dileraikan di rumah ketua kumpulan terbabit," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya semakan nombor casis dan enjin mendapati 17 rangka motosikal yang dijumpai telah dilaporkan hilang di daerah Melaka Tengah manakala sebuah di Jasin.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, kumpulan itu dipercayai menjual komponen motosikal curi yang telah dileraikan selain turut menjual motosikal sekiranya terdapat permintaan.

Beliau berkata, kumpulan itu dikenal pasti bergerak dalam beberapa unit kecil termasuk yang bertindak sebagai pemerhati dan mencari motosikal yang hendak dicuri sementara anggota lain melakukan jenayah curi motosikal itu.

Kumpulan tersebut katanya menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi dan terpencil.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan menemui lebih banyak motosikal dan komponen motosikal curi hasil kegiatan jenayah kumpulan terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment