My Add

Sunday, 10 February 2013

Rakyat belum tentu makmur jika sokong demonstrasi jalanan ala Arab Spring

BUKIT GANTANG, SABTU, 09 Februari, 2013: Rakyat diingatkan kemakmuran yang dinikmati sekarang belum tentu kekal jika mereka menyokong demonstrasi jalanan ala Arab Spring yang dirancang oleh pembangkang untuk menumbangkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Mesir, Tunisia dan Libya iaitu kerajaan yang baharu belum tentu dapat menjamin keamanan dan membantu rakyat seperti yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

"Jangan kita tempah dan adakan sesuatu yang tidak ada. Mesir sudah dua tahun ada kerajaan dan presiden baharu, tetapi masih ada demonstrasi. Tunisia juga sudah dua tahun tetapi masih ada demonstrasi. Libya juga tidak aman lagi.

"Kalau dikatakan demonstrasi jalanan itu cara yang baik untuk menurunkan kerajaan, ia tidak betul kerana akhirnya undang-undang rimba yang akan digunakan. Mahukah rakyat Malaysia hidup seperti di Mesir dan Tunisia yang tidak tenang sampai sekarang?," soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan peralatan bernilai RM200,000 kepada 20 penerima Projek Azam Tani kawasan Trong dan Changkat Jering di Kuala Trong, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan bahawa pembangkang harus menghormati dan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat tanpa perlu menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mohamed Nazri juga meminta rakyat tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang kononnya kerajaan BN zalim kerana hakikatnya kerajaan sekarang adalah amat amat baik dan telah banyak membantu rakyat selama ini.

"Hendak kata kerajaan kita zalim, mereka tidak tahu lagi apa makna sebenarnya zalim. Hendak tahu kerajaan itu zalim atau tidak, tengok sahaja di televisyen.

"Janganlah menghasut rakyat. Apa benda yang kita buat tidak betul? Demonstrasi jalanan bukan cara terbaik untuk menentukan kerajaan," katanya.

Menurut beliau, rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana mempunyai sebuah kerajaan yang menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat sedangkan pembangkang cuma pandai berjanji.

Sebagai contoh katanya, pembangkang bercakap soal kebebasan media, tetapi menghalang akhbar tertentu memasuki sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan membuang ahli yang mengkritik pemimpin parti walaupun sering melaung memperjuangkan demokrasi.

Mohamed Nazri berkata, peringatan Perdana Menteri itu tepat pada masanya supaya isyarat awal dapat diberikan kepada rakyat agar tidak menyokong jika ada usaha oleh pembangkang untuk menumbangkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan selepas pilihan raya umum nanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment