My Add

Monday 25 February 2013

Rakyat diingat manifesto pembangkang bukan janji

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Februari, 2013: Rakyat di negara ini diingat bahawa semua manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pakatan pembangkang sepertimana diumumkan hari ini bukanlah suatu janji sebaliknya hanya retorik semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini disandarkan kepada kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengakui manifesto pembangkang pada pilihan raya umum lalu bukanlah sebuah janji.

Menurutnya, rekod menunjukkan bahawa apa yang dicanang menerusi manifesto mereka sebelum ini tidak ditunaikan walaupun mereka berjaya menjadi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberikan banyak bantuan kepada hampir seluruh golongan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan untuk pelajar sekolah, baucar buku dan lain-lain, walaupun ia tidak pernah dijanjikan sebelum ini.

"Ia jelas menunjukkan pembangkang berjanji tetapi mereka tidak buat sebaliknya BN tidak berjanji tetapi buat. Bantuan-bantuan seperti BR1M dan lain-lain tiada dalam manifesto BN sebelum ini tapi kita berikan kepada rakyat," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, agak sukar bagi pembangkang mahu menurunkan harga minyak kerana kos subsidi kerajaan pada masa kini ialah RM2 bilion sebulan.

"Nak turunkan lagi. Berapa banyak wang yang perlu dikeluarkan setiap bulan sedangkan pada masa kini kerajaan menanggung kos subsidi RM2bilion sebulan untuk memastikan harga petrol RON95, diesel dan gas memasak pada kadar sekarang. Semua janji itu tidak berpijak di bumi nyata," katanya.

Sementara itu bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, pembangkang boleh mengumumkan beribu-ribu manifesto sekali pun tetapi kenyataannya mereka tidak berhasrat pun mahu melaksanakannya.

Menurut beliau, Pas sendiri pernah menggariskan lebih 100 manifestonya pada pilihan raya umum 1999 untuk negeri Terengganu tetapi apabila mereka menang dan memerintah negeri itu, hanya sedikit sahaja yang dilaksanakan.

"Buatlah 1,000 manifesto pun tak apa. Khalid (Menteri Besar Selangor) sendiri kata manifesto bukan janji. Jadi pakatan pembangkang boleh keluar sebanyak mana pun, tidak perlu risau," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment