My Add

Wednesday 20 February 2013

Reka bentuk Marina One dilancar

 *NAJIB Tun Razak dan Lee Hsien Loong (kiri) diiringi Azman Yahya (kanan) melihat replika model bangunan Marina One pada majlis pelancaran reka bentuk projek Marina One di Singapura, semalam. - BERNAMA

Daripada LUQMAN HAZIQ
SINGAPURA, SELASA, 19 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong hari ini melancarkan reka bentuk projek ikonik, Marina One yang dijadualkan siap pada 2017.

Pembinaan projek yang dibangunkan M+S Pte. Ltd., syarikat yang dimiliki pegangannya 60: 40 oleh Khazanah Holdings Bhd., dan Temasek Holdings Pte. Ltd., itu kini berjalan mengikut jadual dan kerja-kerja cerucuk telah dimulakan.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran berkenaan, Najib mengakui teruja apabila menyaksikan sendiri reka bentuk Marina One yang terletak di kawasan pesat membangun iaitu di Pusat Perniagaan Utama di bandar raya ini.

"Saya rasa ia memang mempunyai reka bentuk yang menarik dan Marina One akan memenuhi harapan seperti yang kita inginkan supaya ia menjadi mercu tanda dan bangunan ikonik.

"Marina One adalah permulaan bagi bangunan ikonik," katanya selepas meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama Hsien Loong meninjau projek tersebut.

Sementara itu, Hsien Loong menyifatkan projek ikonik berkenaan sebagai amat penting dalam kerjasama perniagaan antara Singapura dan Malaysia.

Terdahulu, Pengerusi M+S Pte. Ltd., Tan Sri Azman Yahya berkata, Marina One akan memberi lembaran baru kepada Pelan Induk Marina Bay.

Beliau berkata, Marina One akan memberi gaya hidup dalam taman kepada warga Singapura dan bakal menjadi latar belakang bagi bangunan pencakar langit di kawasan pusat bandar raya ini.

Menurutnya, apabila siap kelak Marina One akan dihubungkan dengan Marina Coastal Expressway dan Mass Rapid Transit (MRT) yang memudahkan perhubungan orang ramai.

Selain Marina One, M+S turut membangunkan satu lagi projek bersepadu, DUO di Ophir-Rochor yang telah dipersetujui dalam Butiran Perjanjian (POA) yang ditandatangani pada 2010 oleh kedua-dua negara.

Kedua-dua projek yang dibangunkan di Singapura itu bernilai S$11 bilion (RM27.5 bilion).

Rekaan model projek Marina One yang merangkumi dua menara turut mengandungi kediaman mewah, ruang pejabat dan komersial dihasilkan oleh arkitek terkenal, Christoph Ingenhoven yang membina bangunan menarik seperti Ibu Pejabat Google di California dan 1 Bligh di Sydney, Australia.

Pada pemukiman kali ini, Najib dan Hsien Loong turut turun ke Johor Bahru untuk melancarkan projek kerjasama syarikat kedua-dua negara, Urban Wellness dan Wellness Resort di Medini, Iskandar Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment