My Add

Sunday 10 February 2013

Saudara mara dan rakan mendiang Claudia mula beri penghormatan

SEREMBAN, AHAD, 10 Februari, 2013: Saudara mara dan rakan penerbit portal berita Al-Jazeera, Claudia Theophilus yang maut terkena tembakan di Lubnan, mula menziarahi rumahnya di Taman Bukit Kepayang di sini, tengah hari tadi.

Ketika tinjauan BH di rumah ibu bapanya itu sebentar tadi, terdapat kira-kira 20 orang termasuk rakan media hadir memberi penghormatan terakhir.

Wartawan Utusan Malaysia, Nazarudin Shahari, 43, yang juga jiran mendiang, berkata kali terakhir dia bertemu Claudia, pada Krismas lalu.

"Kami tidak sempat berbual kerana dia sibuk dengan keluarganya menyambut Krismas, namun dia kelihatan ceria.

"Dia seorang anak yang bertanggungjawab dan sangat mengambil berat mengenai keluarganya," katanya yang tinggal berhadapan dengan rumah ibu bapa mendiang sejak 12 tahun lalu.

Editor sebuah portal berita internet yang mahu dikenali sebagai Sean, berkata dia mengenali Claudia lebih 20 tahun lalu, memandangkan keluarga mereka kawan rapat.

"Sejak dulu, semua orang tahu dia sangat peramah dan mesra selain tidak pilih kasih.
"Dia boleh mesra dengan sesiapa saja tanpa mengira bangsa, agama mahu pun status. Itu yang menyebabkannya disukai ramai orang," katanya.

Mayat mendiang tiba di rumahnya kira-kira jam 11 malam tadi selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.45 malam.

Dia akan dibawa ke Gereja Visitation, Jalan Yam Tuan di sini, jam 10 pagi esok untuk upacara pengebumian.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi waktu Lubnan Sabtu lalu, Claudia, 42, yang bertugas dengan Al-Jazeera berpangkalan di Doha, Qatar terkena tembakan secara tidak sengaja ketika bercuti bersama dua rakannya di pergunungan Baakleen, Lubnan. - BH

No comments:

Post a Comment