My Add

Sunday 24 February 2013

Selangor halang bina Universiti Perdana - Noh Omar

 *NOH Omar menyampaikan enjin bot kepada nelayan pada majlis penyampaian bantuan kecil pertanian dan peralatan mesin di bawah peruntukan Majlis Pembangunan Pertanian Perlimen (MPPP) Tanjong Karang di Pejabat PPK Cawangan Batu 9, Tanjong Karang hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
TANJONG KARANG, AHAD, 24 Februari, 2013: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dibidas kerana didakwa cuba menghalang rancangan pembinaan kampus Universiti Perdana di Serdang.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya telah dimaklumkan kerajaan negeri masih enggan meluluskan syarat tukar tanah yang menyebabkan kampus universiti perubatan yang melibatkan kerjasama Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat itu tidak dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan sehingga kini.

Tegasnya, pembinaan kampus Universiti Perdana sepatutnya siap tahun ini selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 September 2011 di atas tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang yang dijual kepada universiti tersebut sebelum ini.

Malah katanya, penjualan tanah dan pembinaan kampus Universiti Perdana itu telah pun diluluskan oleh Kabinet selaras dengan usaha Kerajaan Pusat menyedia serta membangunkan peluang pendidikan tinggi kepada rakyat negara ini terutamanya dalam bidang perubatan.

"Namun, saya dimaklumkan kerajaan negeri tidak meluluskan penukaran syarat tanah tersebut daripada status pertanian kepada bangunan menyebabkan kampus Universiti Perdana tidak dapat dibina. Malah, saya difahamkan permohonan penukaran status tanah itu juga ditolak oleh kerajaan negeri.

"Jika soal pendidikan pun kerajaan negeri mahu politikkan, bagaimana dengan nasib rakyat, sudah pastinya rakyat Selangor mahu pun di negara ini akan rugi dari segi mendapatkan peluang pendidikan tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Noh Omar, beliau difahamkan para pelajar Universiti Perdana telah pun memulakan pengajian mereka di fakulti sementara yang disewa di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) juga di Serdang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment