My Add

Saturday 9 February 2013

Usahawan kecil, sederhana diingat tidak lupa jasa kerajaan

 *NAJIBTun Razak beramah mesra dengan usahawan-usahawan TEKUN Malaysia selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Tekun & Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
 *PARA peserta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) mengangkat sepanduk I Love PM pada Konvensyen Usahawan TEKUN dan Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpurt hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, SABTU, 09 Februari, 2013: Golongan usahawan kecil dan sederhana perlu lebih dinamik, tidak berada di takuk lama dan tidak melupakan jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberikan bantuan dan peluang untuk mereka mengembangkan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) telah memberi bantuan pinjaman kepada 250,000 usahawan kecil dan sederhana untuk memulakan perniagaan mereka.

"Jangan lupa jasa kerajaan, yang sokong (kerajaan) dapat (pinjaman Tekun), yang tidak sokong pun dapat, kadang-kadang kita sedih juga, kita buat susah-susah, mereka kutuk, bila dapat apa-apa bantuan dia yang tercegat di depan kita.

"Yang paling penting kita sudah faham, sudah tahu siapa yang tolong kita selama ini. Kalau dapat mandat dari rakyat, bukan sahaja Tekun bertambah maju dan dapat lahirkan ribuan usahawan tetapi negara ini dapat dimartabatkan sebagai negara maju dan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Usahawan Tekun dan Ekspo Keusahawanan Tekun Nasional 2013 bertemakan 'Melahirkan Komuniti Usahawan Tekun yang Berdaya Usaha, Jujur dan Progresif' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Najib berkata, usahawan juga perlu menetapkan strategi perniagaan mereka yang boleh merangsang perniagaan untuk berkembang sehingga boleh menembusi pasaran antarabangsa.

"Selain daripada perancangan perniagaan, juga perlu fikir bagaimana kita sebagai seorang peniaga disenangi oleh pelanggan, apakah ciri-ciri yang patut ada yang boleh menyebabkan pelanggan menyukai kita," katanya.

Beliau berkata, sama seperti politik, perniagaan juga menuntut supaya setiap janji kepada pelanggan haruslah ditepati agar pelanggan terus meletakkan kepercayaan kepada mereka sekali gus dapat membina reputasi yang baik.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Usahawan TEKUN Cemerlang, Anugerah Kelab Komuniti Usahawan TEKUN (KKUT) Terbaik dan menyampaikan sijil pelantikan kepada pengerusi KKUT negeri-negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment