My Add

Wednesday 20 February 2013

Xenophon dijemput Anwar?

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
 KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Februari, 2013: Pergerakan Wanita UMNO menuntut penjelasan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung dakwaan kedatangan Senator Australia, Nick Xenophon ke Malaysia adalah atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, rakyat perlu tahu jika wujud komplot antara kedua-dua pemimpin itu bagi meyakinkan Majlis Syura Ulama Pas bahawa Ketua Pembangkang tersebut bersih daripada salah laku moral sekali gus layak menjadi Perdana Menteri.

Sambil menyokong tindakan kerajaan Malaysia mengusir senator itu, beliau berkata, Wan Azizah tidak boleh berdiam diri sebaliknya perlu menyangkal dakwaan sebarang bentuk campur tangan luar yang boleh mencetuskan situasi membimbangkan di negara ini.

“Tindakan Jabatan Imigresen mengusir keluar Xenophon amat disokong kerana dia mempunyai sejarah masuk ke Malaysia disebabkan motif peribadi yang rakyat boleh sangsikan.

“Oleh itu, saya mahu bertanya kepada Wan Azizah mengapa beliau membisu dalam soal ini, apakah pendirian beliau tentang campur tangan aktivis luar untuk membawa masuk unsur-unsur yang membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin bersama ahli Wanita UMNO Jinjang Utara, Kepong, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Imigresen menahan Xenophon daripada memasuki negara ini di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang kelmarin.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, Xenophon dikategorikan sebagai seorang yang tidak diingini dan dilarang masuk ke negara ini kerana pernah mencetuskan isu yang cenderung ke arah menggugat keharmonian negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment