My Add

Friday 1 March 2013

Harga kereta RM25,000 tak realistik

 *DR. MAHATHIR Mohamad menandatangani buku untuk peminatnya, Mamiko Terakado (kanan) semasa hadir melawat bangunan baharu Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Japan di UTM di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, bekas Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie (tengah). - BERNAMA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Manifesto pembangkang untuk meliberalisasi industri automotif negara sehingga mampu mengeluarkan kereta serendah RM25,000 sebuah adalah tidak realistik selain mampu 'membunuh' punca rezeki penjual kereta terpakai.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hal ini kerana pemilik kereta sudah tentu akan mencari penjual kereta terpakai untuk menjual kereta mereka bagi mendapatkan 'modal' membeli kereta baharu.

"Kalau serendah RM25,000 sebuah, pertamanya kereta-kereta terpakai tak akan laku. Apabila ini berlaku, penjual kereta terpakai akan rugi dan tutup kedai. Oleh itu kereta baharu pun tidak akan terjual kerana pemilik kereta terpaksa mencari penjual kereta terpakai bagi menjual keretanya nak dapat duit beli kereta baharu.

"Nak kurang sampai RM25,000, mudah kata tapi siapa nak buat (kereta)? Kalau dia (pembangkang) sanggup beri modal kepada pihak tertentu tanpa faedah, itu pun tak boleh dapat harga itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Dasar Pandang ke Timur di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, di sini hari ini.

Beliau mengulas manifesto pembangkang yang mahu meliberalisasi industri automotif negara bagi membolehkan industri automotif yang benar-benar berdaya saing boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.

Dr. Mahathir berkata, selain itu, perkara tersebut juga akan menyumbang kepada kesesakan teruk di bandar-bandar utama khususnya di ibu negara.

"Kalau harga kereta RM25,000 sebuah membanjiri Kuala Lumpur, kereta itu tak akan bergerak kerana kesesakan lalu lintas. Sekarang ini pun, tak tinggi sangat (harga kereta). Bilangan kereta-kereta mewah di negara ini juga banyak. Ramai juga orang beli kereta kalau dibandingkan dengan negara lain.

"Kalau lihat nisbah bilangan penduduk dengan kereta, kita ada sebuah kereta bagi setiap dua setengah orang. Tetapi di Thailand dan Indonesia, kereta tak banyak. Di sini, orang dapat beli kereta walaupun dikatakan mahal," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai isu dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah ideanya, beliau dengan nada sinis berkata: "Sebenarnya semua di Malaysia ini berkaitan dengan Anwar. Kalau anda nak percaya yang itu, anda percayalah."

Berhubung kemungkinan Malaysia menjadi orang tengah bagi rundingan antara kerajaan Thailand dengan kumpulan militan di selatan negara itu, katanya, negara sedang berusaha memainkan peranan dalam proses perdamaian di wilayah berkenaan.

"Saya percaya akan ada perjanjian tetapi bukan antara Malaysia dan Thailand. Perjanjian itu melibatkan kerajaan Thailand dan pemberontak," ujarnya.

Kepada soalan mengenai pengumuman kerajaan memansuhkan duti import kereta dari Jepun dan Australia menjelang 2016, katanya, perkara itu tidak akan membunuh industri kereta tempatan khususnya Proton.

Terdahulu dalam syarahannya, beliau memberitahu Dasar Pandang ke Timur berjaya meningkatkan tahap disiplin rakyat di negara ini terutama golongan pekerja yang terdedah dengan etika kerja rakyat Jepun.

"Bagi mereka terutama golongan pekerja dan penuntut yang dihantar ke Jepun, mereka berubah dengan baik. Saya menjangkakan lebih ramai lagi rakyat meniru etika kerja rakyat Jepun. Saya juga berharap akan ada universiti-universiti di Jepun membuka kampus cawangannya di sini,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment