My Add

Sunday 17 March 2013

Bekalan makanan di pusat penempatan mencukupi

KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Mac, 2013: Bekalan keperluan asas seperti makanan di empat pusat penempatan sementara bagi penduduk yang terjejas dalam insiden pencerobohan kumpulan militan di Lahad Datu adalah mencukupi.

Komandan Operasi Pusat Operasi Pertahanan Awam FELDA Sahabat, Kolonel Abdul Wahab Ibrahim, berkata sehingga kini terdapat 1,363 penduduk ditempatkan di empat pusat itu selepas dipindahkan daripada kampung masing-masing susulan Operasi Daulat.

Daripada jumlah itu 508 orang di Dewan Serbaguna Embara Budi, Dewan Serbaguna Fajar Harapan (221), Dewan Serbaguna Cenderawasih (393) dan Dewan Serbaguna Gemala Pura (241).

"Bantuan kemanusiaan yang diberikan tidak mengira bangsa, kaum dan warga, buktinya dalam jumlah 1,363 itu ada juga bukan warganegara kita, malah saya boleh kata melebihi 50 peratus hingga 60 peratus.

"Itu menunjukkan betapa bantuan kemanusiaan yang diberi oleh pihak kerajaan adalah bantuan yang betul-betul berpaksikan pada kemanusiaan," katanya ketika ditemu bual menerusi lintas langsung Selamat Pagi Malaysia di Lahad Datu, hari ini.

Beliau berkata, sebuah lagi pusat penempatan sementara mungkin dibuka di Jeragan Bistari jika keadaan memerlukan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment