My Add

Sunday 17 March 2013

Kehadiran Tian Chua cetus kekecohan

GEORGETOWN, SABTU, 16 Mac, 2013: Kehadiran Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pada majlis makan malam parti itu di sini malam tadi mencetuskan kekecohan.

Kira-kira 100 anggota badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di luar Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Jalan Masjid Kapitan Keling seawal jam 8 malam untuk membantah kenyataannya sebelum ini bahawa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah adalah sebagai sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Keadaan mula menjadi kecoh semasa Ahli Parlimen Batu itu beredar dari majlis berkenaan selepas memberi ceramah kira-kira 30 minit, apabila keretanya dihalang dan ditumbuk oleh anggota NGO terbabit.

Bagaimanapun, pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan yang berada di situ berjaya mengawal keadaan sementara seorang lelaki turut ditahan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng yang turut berada di tempat kejadian mengesahkan penahanan Pengerusi Suara Anak-Anak Malaysia, Mohamed Ghani Abdul Jiman kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Antara NGO yang membuat bantahan ialah Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan), Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Persatuan Muka Buku dan Persatuan Kebajikan Insan Mulia.

Timbalan Setiausaha Agung Al-Ehsan, Arshad Kassim berkata tujuan perhimpunan itu ialah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kebiadapan Tian Chua.
"Kami tak puas hati kerana kebiadapan Tian Chua yang sanggup kata pencerobohan di Lahad Datu itu adalah satu sandiwara hasil permainan politik," katanya yang juga bekas anggota tentera.

Beliau berkata, kenyataan itu jelas menunjukkan Tian Chua tidak menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dan dia tidak layak menjadi seorang pemimpin politik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment