My Add

Sunday 17 March 2013

UTC mini pertama dilancarkan di Bandar Baru Sentul

KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Mac, 2013: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini pertama bertempat di Kompleks Perniagaan dan Komuniti Bandar Baru Sentul, di sini.

Bangunan tiga tingkat yang mula beroperasi 4 Mac lalu itu, menempatkan beberapa jabatan kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Pos Malaysia.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk perpustakaan awam, klinik kesihatan dan pergigian, pasar basah dan barang kering, gelanggang futsal dan pusat sukan taekwando.

Raja Nong Chik berkata, kompleks itu dipilih sebagai UTC mini kerana keadaan persekitarannya yang mempunyai kapasiti kepadatan penduduk tinggi meliputi kawasan kediaman serta pusat perniagaan selain kemudahan pengangkutan awam.

Menurutnya, sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kompleks itu menjadi UTC mini.

"Konsep UTC mini ini adalah bagi memperkemaskan sistem penyampaian kerajaan supaya rakyat lebih mudah berurusan, menjimatkan masa, sekali gus mengurangkan kos pembangunan kerajaan untuk membina lebih banyak bangunan pejabat baru," katanya ketika berucap melancarkan UTC mini itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua UMNO Parlimen Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.
Raja Nong Chik pada sidang media kemudian mengumumkan dua lagi UTC mini akan dibangunkan, masing-masing di Keramat dan Lembah Pantai dalam masa berkenaan.

"Di Keramat, UTC mini akan wujudkan di Keramat Mall, manakala di Lembah Pantai akan dibangunkan di Dataran Angkasa," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, UTC mini itu juga akan diwujudkan di bandar utama seluruh negara, bermula di Pahang, April ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment