My Add

Friday 1 March 2013

Ceramah pembangkang 'dingin'

 *SEORANG pemimpin Pas menyampaikan ceramah di hadapan beberapa orang
 pengikut pakatan pembangkang dalam ceramah anjuran Pas di Pulau Tiga,
 Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak malam kelmarin.

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Ceramah pakatan pembangkang yang diadakan di beberapa negeri malam tadi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, mendapat sambutan yang terlalu dingin apabila hanya sebilangan kecil dipercayai penyokong mereka yang hadir.

 
Ceramah di Padang Awam Bandar Sri Putra 5, Bangi dekat sini oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dan ADUN Kajang, Lee Khim Shee umpamanya hanya dihadiri oleh kira-kira 50 orang.

Program itu gagal menarik perhatian kira-kira 2,000 penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) milik kerajaan negeri itu yang tinggal di asrama tidak jauh dari padang berkenaan.

Di PASIR SALAK, Perak, ceramah Pas di Pulau Tiga, Kampung Gajah turut hambar dengan kehadiran hanya kira-kira 40 orang, meskipun menampilkan bekas artis, Bob Lokman dan pelajar kontroversi, Adam Adli Abd. Halim sebagai penceramah.

Penceramah pertama, Drs. Ishak Shaari yang disebut-sebut sebagai calon Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah menerima tamparan paling hebat apabila terpaksa memulakan ceramahnya pada pukul 9.30 malam di hadapan kurang 10 orang hadirin.

Jumlah itu bertambah sedikit selepas itu tetapi tidak sampai 40 orang sehinggalah ceramah tersebut tamat kira-kira pukul 11.30 malam.

Sementara itu di TAMPIN, Negeri Sembilan, hanya kira-kira 30 orang menghadiri majlis penerangan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang yang diadakan di Felda Bukit Rokan Utara.

Kecewa dengan sambutan tersebut, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Taufek Abd. Ghani berjanji untuk mengadakan ceramah di dewan yang lebih besar apabila pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan di negeri itu, namun janji itu hanya menerima sorakan kecil yang hadir.

Di SEREMBAN, Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong merayu kepada lebih 20 warga emas yang menghadiri ceramah beliau di Rantau dekat sini agar menjadi pegawai penerangan pakatan pembangkang di kawasan itu.

Tindakan terdesak beliau itu bertujuan agar kumpulan terbabit dapat membantu menyebarkan maklumat mengenai pakatan pembangkang dalam usaha memenangi pilihan raya.

Di BACHOK, Kelantan, pemimpin Pas dilihat ketandusan idea apabila terus memutar belit isu-isu lama dalam ceramah yang dianjurkan parti itu.

Isu lapuk yang dibangkitkan demi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu jelas tidak mendapat sambutan apabila hanya 500 orang menghadiri ceramah perdana yang disampaikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Pusat Tarbiyah Pas di situ. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment