My Add

Friday 1 March 2013

Guan Eng dicabar peluk Islam jika mahu buktikan DAP perjuangkan Islam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar memeluk Islam terlebih dahulu jika mahu membuktikan kenyataannya bahawa parti itu benar-benar memperjuangkan agama tersebut.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, jika perkara itu tidak berlaku, DAP tidak perlu berterusan membohongi rakyat dengan mengatakan berperanan menegakkan Islam di negara ini.

"Kalau betul nak perjuangkan Islam, masuklah Islam dahulu. Macam mana Harun (Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib) boleh minta DAP jelaskan dahulu perjuangan mereka terhadap Islam, padahal Guan Eng tak masuk Islam pun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Harun kepada Setiausaha Agung DAP tersebut supaya membuktikan kepada rakyat khususnya umat Islam bahawa parti itu benar-benar turut memperjuang dan menegakkan Islam seperti yang didakwanya sebelum ini.

Menurut Harun, bukti itu penting bagi meyakinkan umat Islam mengenai dakwaan Guan Eng bahawa DAP berperanan dalam segala hal berkaitan Islam termasuk hukum syarak terutama di Pulau Pinang.

Jelas Harun lagi, umat Islam akan mempercayai apa yang dinyatakan oleh pemimpin DAP itu sekiranya beliau mempunyai bukti kukuh dan jika sebaliknya, Guan Eng tidak wajar mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana boleh menimbulkan keraguan.

Mohd. Nakhaie yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, beliau sendiri ragu-ragu dengan niat DAP yang menyatakan bahawa parti itu memperjuangkan Islam.

"Nak harapkan DAP perjuangkan Islam, jangan harap," katanya.

Menurut beliau, Pas tidak perlu meminta DAP supaya membuktikan mengenai kenyataan Guan Eng itu kerana sudah jelas bahawa parti tersebut hanya berbohong apabila berkata demikian. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment