My Add

Friday 1 March 2013

ROS didesak gantung keputusan
 
 *TUNKU Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat desakan agar ROS menggantung
 keputusan pemilihan CEC DAP sewaktu sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor,
 semalam.

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Pendaftar Pertubuhan (ROS) didesak supaya menggantung keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP sehingga siasatan berhubung isu kesilapan pengiraan undi selesai.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, ini berikutan pelantikan jawatankuasa tertinggi parti itu dilakukan oleh ahli CEC sebelum mereka menyedari berlaku kesilapan dalam pengiraan undi.

Menurutnya, perkara tersebut telah menimbulkan keraguan berhubung kedudukan 20 ahli CEC yang dilantik parti itu, sama ada masih sah atau sebaliknya.

"Sepatutnya, apabila berlaku kesilapan kiraan undi yang serius seperti itu, secara automatik keputusan pemilihan itu menjadi tidak sah tetapi DAP menganggap seperti tidak ada apa yang berlaku.

"Jika benar parti itu berintegriti, sekiranya pemimpin dalam DAP 'bermoral' dan telus, maka mereka seharusnya meletakan jawatan serta bersedia untuk pemilihan CEC yang baru," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar berhubung perkara itu di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Keputusan awal pemilihan CEC pada 15 Disember lalu itu menyaksikan tiada seorang pun daripada lapan calon Melayu terpilih bagaimanapun selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari Abdullah sebagai salah seorang anggota CEC.

Keadaan itu disusuli dengan peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti tersebut bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu.

Tunku Aziz turut mempersoalkan sistem pemilihan 'demokrasi' kepimpinan pusat yang diamalkan DAP selama ini yang berbeza berbanding parti-parti politik lain.

"Para perwakilan yang terpilih ke kongres kebangsaan akan memilih 20 anggota jawatankuasa eksekutif pusat, 20 anggota jawatankuasa ini kemudiannya akan mengundi untuk menentukan siapa akan memegang jawatan pengerusi, timbalan dan setiausaha agung parti.

"Perwakilan pula tidak 'dibenarkan' untuk mengundi bagi menentukan jawatan-jawatan tertinggi parti, amalan ini berbeza dengan parti lain dalam negara malah di dunia yang membenarkan ahli akar umbinya untuk mengundi pengerusi atau jawatan lain dalam parti.

"Saya pernah menyoal tentang perkara ini pada awal penglibatan saya dengan DAP namun gagal mendapat sebarang penjelasan," jelasnya.

Menurut beliau, DAP kononnya memperjuangkan ketelusan dan keadilan tetapi akhirnya kepimpinan parti itu sendiri yang terpesong daripada prinsip asas demokrasi.

"DAP satu-satunya parti dalam negara ini yang mempunyai cara 'unik' dalam sistem pemilihan mereka. Setiausaha Agung mempunyai 'kuasa' mutlak berbanding Pengerusi atau yang lain-lain.

"Nama sahaja parti demokratik tetapi hakikatnya hanya suara tertentu akan kedengaran dalam DAP, ada sesetengah itu walaupun memegang jawatan 'besar' namun tidak ada kuasa langsung," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan DAP supaya menerima apa jua tindakan ROS terhadap parti itu dengan tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengundang masalah.

"Tidak perlulah mengadakan demonstrasi jalanan untuk mendapatkan undi simpati, hormati keputusan ROS. DAP sering berlagak seperti mereka kebal dengan undang-undang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment