My Add

Sunday 17 March 2013

Rakyat bayar harga tinggi untuk pulih keamanan: MB Perlis

KANGAR, SABTU, 16 Mac, 2013: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengingatkan rakyat supaya terus menjaga keamanan negara sebaik mungkin kerana mereka akan membayar harga yang tinggi untuk memulihkan keamanan itu jika dirobek.

Katanya, perbuatan pengkhianat yang menggugat keamanan negara seperti di Sabah, bukan saja membantutkan kehidupan penduduk setempat tetapi juga menyebabkan kerajaan berbelanja besar untuk memulihkan keadaan.

“Jika ini yang berlaku, usaha membangunkan negara dan rakyat juga yang terjejas kerana sebahagian peruntukan diguna untuk memulihkan keamanan,” katanya ketika merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini Kampung Kok Klang, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, negara akan terus aman dan harmoni di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Md Isa memberi contoh Kampung Kok Klang yang terletak di jauh pedalaman dengan kebanyakan penduduk bertutur bahasa Siam, kini menikmati pelbagai kemudahan serta menjadi satu daripada tiga kampung di Perlis mempunyai RTC.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh, berkata kampung berkenaan pernah dilawati Tun Abdul Razak Hussein ketika Allahyarham menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1967.

Katanya, Tun Razak memasuki kampung itu dengan berjalan kaki, sekali gus membuktikan keprihatinanya terhadap pembangunan kampung.
Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, orang lama di kampung ini masih mengingati lawatan berkenaan sebagai sejarah bermakna bagi kampung yang terletak di pinggir ladang tebu Chuping itu, kata Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chuping. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment