My Add

Saturday 2 March 2013

Kerajaan perkasa bahasa Melayu

 *KHALED Nordin (tiga dari kanan) bersama para pemenang dan peserta menyanyikan lagu 1Malaysia dalam majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Piala Perdana Menteri 2013, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
PUTRAJAYA, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus bertekad untuk terus memperkembang dan memperkasa bahasa Melayu ke peringkat global.

Kata Perdana Menteri, langkah untuk memperkasa bahasa Nusantara itu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat penting untuk perpaduan nasional.

Beliau memberi contoh, pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

"Saya amat bangga dan kagum dengan usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi kerana memberikan tumpuan yang serius dalam menganjurkan satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu peringkat dunia.

"Pertandingan ini ternyata telah memberikan impak yang sangat kuat dalam memartabat dan memperkasa bahasa Melayu di persada dunia," katanya dalam ucapan sempena Malam Kemuncak PABM 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Najib bersyukur kerana PABM yang dicetuskannya pada 2006 sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri sudah menjadi agenda utama dalam kalendar tahunan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Selang tujuh tahun sahaja penganjurannya, saya dapat melihat bahawa penyertaan pertandingan ini saban tahun bertambah di mana para peserta datang dari seluruh pelusuk dunia, merangkumi kesemua enam yang benua yang berpenghuni," katanya.

Selain itu, Najib berkata, taraf kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia telah menjadi fakta dalam sejarah perkembangan dan kebangkitan tamadun Melayu.

"Bermula era pemerintahan Srivijaya pada abad ketujuh Masihi, berkesinambungan ke zaman Kesultanan Melayu Melaka dalam tempoh beberapa ratus tahun.

"Namun demikian, dengan kesan penjajahan yang memadamkan sebahagian kegemilangan bahasa Melayu, upaya menggemilangkan semula bahasa ini sebagai bahasa dunia memerlukan perancangan rapi dan berkesan, meskipun memerlukan tempoh panjang dan beransur-ansur," katanya.

Sehubungan itu, Najib mengajak rakyat negara ini membuka minda untuk memikir dan memulakan langkah memperhebat bahasa Melayu ke persada dunia.

Katanya, segala ruang dan peluang yang ada perlu digunakan untuk mempelbagai kaedah mengetengahkan bahasa yang diwarisi daripada nenek moyang kepada masyarakat dunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment