My Add

Saturday 2 March 2013

Pasaran modal Malaysia terus positif - Idris

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Pasaran modal Malaysia dijangka kekal positif tahun ini berikutan pertumbuhan pesat tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala hari ini.

Beliau berkata, pasaran modal berkembang 30 peratus tahun lepas kepada RM1.46 trilion selepas menerima aliran pelaburan besar yang tercetus oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Pelaburan swasta meningkat 12.2 peratus pada 2011 daripada enam hingga tujuh peratus pada 2011, dan meningkat 22 peratus selanjutnya pada 2012.

"Jika ada banyak peningkatan dalam pelaburan, pasaran modal akan bertindak positif memandangkan pelaburan itu sebahagiannya menerusi instrumen hutang dan pemerolehan ekuiti," katanya ketika ditemui pada seminar Pasaran Modal Asean Standard & Poor"s Rating Services di sini hari ini.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) menyampaikan ucaptama pada seminar sehari itu.

Pengarah Urusan Standard & Poor ASEAN, Surinder Kathpalia berkata, Malaysia ialah peneraju terbitan bon korporat di rantau ini dengan rekod pertumbuhan kukuh hasil daripada kerangka kerja kawal aturan yang jelas, khidmat penetapan harga bon dan pasaran bon kewangan Islam yang teratur.

"Peningkatan prestasi bon korporat mata wang tempatan dalam pasaran utama ASEAN, berkembang pesat hasil daripada reformasi kawal aturan dan sokongan kerajaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, negara perlu menyelesaikan cabaran seperti rantaian dengan pasaran bon serantau dan pengantarabangsaan kewangan Islam bagi membawa pasaran bon tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

"Di sanalah tempatnya untuk tumpuan selanjutnya yang akan menarik lebih banyak penerbit dan pelabur asing.

"Bagi pelabur yang sudah pun di sana (dalam pasaran modal), anda hanya perlu menarik mereka ke dalam pasaran bon korporat menerusi saiz bon yang lebih besar, mudah tunai dan ketelusan," katanya.

Bagaimanapun beliau menjangkakan terbitan bon negara yang dalam perancangan akan terus kukuh dengan negara terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Beliau berkata, banyak lagi projek yang akan terus dibiayai serta mendapat pembiayaan semula, memperoleh manfaat kadar faedah rendah yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

Kathpalia ialah anggota panel seminar itu yang membincangkan pelbagai isu dan peluang dalam pasaran modal ASEAN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment