My Add

Saturday 2 March 2013

Ladang Rakyat Pas diramal gagal

 *MOHD. Isa Abdul Samad menyampaikan replika cek Skim Bantuan Kasih Felda kepada Ai Sit E Tat sambil diperhatikan Syed Sobri Syed Hashim (kanan) dan Emel Faizal Mohd. Mokhtar pada Majlis Perasmian Program Kasih Felda di Kuala Nerang, Kedah, semalam.

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
PADANG TERAP, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Kerajaan Pas Kedah tidak akan berjaya melaksanakan projek Ladang Rakyat kerana dilihat tidak mempunyai kepakaran termasuk sumber kewangan mencukupi.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, projek tersebut hanya dijadikan alasan untuk kerajaan negeri meraih keuntungan, bukan berteraskan kepentingan masyarakat seperti diusahakan oleh Felda selama ini.

"Sebenarnya kerajaan negeri cuba dapatkan keuntungan daripada projek Ladang Rakyat ini tetapi tidak mungkin boleh buat macam Felda atau Felcra kerana tiada kewangan dan kepakaran.

"Kawasan yang diusahakan juga kawasan bukit bukau, bukan mudah membangunkan ladang di kawasan itu. Dari segi pembalakan, kerajaan negeri boleh dapat hasil tetapi rakyat akan tertipu kerana pelaksanaannya tidak akan berhasil," katanya selepas merasmikan program Kasih Felda di Kuala Nerang dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim dan Pengarah Urusan Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar.

Mohd. Isa mengulas tentang program Ladang Rakyat di Kedah yang mula dipersoalkan oleh penduduk negeri ini.

Program yang dibangunkan bagi tanaman kelapa sawit dan getah itu juga mendapat kritikan apabila dilihat cuba berselindung di sebalik aktiviti pembalakan terutama di Baling, Sik, Pendang dan Padang Terap.

Tambah Mohd. Isa, aktiviti pembalakan yang dilakukan secara berleluasa merupakan kesilapan besar kerana boleh mengundang musibah kepada rakyat negeri ini termasuk warga Felda.

"Kesannya apabila hutan di kawasan berdekatan tadahan air digondolkan dan ini akan menjejaskan bekalan air kepada penduduk. Semua anggota masyarakat akan mendapat masalah," katanya.

Menyentuh tentang majlis tersebut, beliau berkata, Felda melalui program Kasih Felda membelanjakan sebanyak RM21.5 juta untuk membaik pulih 4,300 rumah penduduk miskin yang tinggal berhampiran tanah rancangan itu.

"Melalui program yang dimulakan tahun lepas, kita merancang membaik pulih 5,000 rumah dalam tempoh tiga tahun. Sehingga bulan lepas, sebanyak 4,300 keluarga miskin sudah dibantu.

"Program ini diteruskan dan lebih banyak rumah akan dibaik pulih walaupun sasaran kita hanya 5,000 rumah dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Isa yakin warga Felda sama ada generasi pertama atau kedua akan memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Sokongan warga Felda tetap kepada Perdana Menteri kerana di bawah BN, Felda berjaya diuruskan dengan baik sejak 56 tahun lalu. Semua warga Felda sudah melihat perubahan dan merasai nikmat kemakmuran ekonominya.

"Walaupun ada pihak yang cuba timbulkan keraguan untuk mengelirukan warga Felda, namun ia dilihat tidak berjaya," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment