My Add

Saturday 2 March 2013

Program inap desa beri ruang kepada peserta PABM pelajari budaya Melayu

 *PARA peserta dibawa melawat kawasan tanaman sawah padi sempena program Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 di inap desa Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Melaka, baru-baru ini.

PUTRAJAYA, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Program inap desa memberi ruang kepada para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri untuk mempelajari adat dan budaya orang Melayu di negara ini.

Menurut peserta Tadjikistan, Izzatullo Amirshoev, melalui program itu dia dapat menyelami budaya sebenar dan kehidupan orang Melayu di negara ini dengan lebih dekat lagi.

Pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan Universiti Pasundan, Bandung, Indonesia menyifatkan pendedahan itu secara tidak langsung dapat melengkapkan pembelajaran bahasa Melayunya berdasarkan pemerhatian terhadap kehidupan seharian.

"Saya sangat suka dengan suasana masyarakat orang Melayu di kampung kerana mereka amat mesra dan ramah berbanding dengan masyarakat yang berada di bandar.

"Berdasarkan pengalaman saya yang lepas ketika mengikuti program ini, saya sangat suka dengan masak lemak cili yang sangat sedap rasanya," kata peserta yang sudah dua kali menyertai pertandingan itu.

Program inap desa merupakan antara program yang diikuti peserta PABM selepas selesai pertandingan pidato.

Pada program itu mereka akan tinggal dengan keluarga angkat masing-masing dan kemudiannya didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuklah dibawa melihat sawah padi, ladang getah, dan menyaksikan demonstrasi kraf tangan.

Sementara itu, peserta Amerika Syarikat (AS), Sara White menyifatkan makanan yang dinikmati ketika program inap desa pada tahun lepas menyebabkan dia jatuh cinta dengan masakan Melayu.

"Saya amat menggemari nasi lemak kerana rasanya yang sedap dan sungguh menyelerakan.

"Ini membuatkan saya suka berada di negara ini yang mempunyai penduduk yang sangat mesra," ujar pelajar Komunikasi dan Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Brigham Young, Utah itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment