My Add

Saturday 2 March 2013

MAIWP sedia RM12j dana ubat

Oleh HAMDAN TAWADI
 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM12.153 juta bagi dana perubatan tahun ini dengan sebahagian besar digunakan untuk rawatan hemodialisis.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada keseluruhan dana itu sebanyak RM9.193 juta diperuntukkan bagi membiayai pesakit-pesakit menjalani rawatan hemodialisis.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, peruntukan itu diberikan kerana MAIWP menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan hemodialisis yang tinggi iaitu antara RM35,000 dan RM40,000 setahun.

"Pesakit harus menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu untuk sepanjang hayat dengan kos sekali rawatan antara RM200 dan RM300.

"Melalui Baitulmal, MAIWP menyalurkan dana bagi membantu golongan kurang berkemampuan menjalani rawatan hemodialisis ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS di Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di Taman Batu Muda di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Zainal Abidin Jaffar, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, Pengerusi Eksekutif PICOMS, Datuk Mohd. Zubir Sheikh Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Ahmad Zakuan Khairuddin.

Pusat hemodialisis itu mempunyai 13 mesin rawatan dengan kemampuan merawat sehingga 78 pesakit namun buat masa ini, sebanyak 60 pesakit menerima rawatan di situ.

Jamil Khir berkata, bagi memudah dan melancarkan pihak Baitulmal menyalur dan menyumbangkan bantuan MAIWP memberi kepercayaan penuh kepada anak syarikatnya iaitu PICOMS membuka pusat hemodialisis.

"Sebelum ini, pesakit menjalani rawatan di pusat-pusat dialisis yang merupakan panel kepada Baitulmal.

"Dengan adanya Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS, memudahkan lagi pemantauan bagi memastikan pesakit mendapat khidmat terbaik kerana diletakkan di bawah anak syarikat milik penuh MAIWP," katanya.

Menurut beliau, MAIWP memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta kepada PICOMS untuk menubuhkan pusat hemodialisis di Wilayah Persekutuan dan dua lagi pusat sedemikian bakal dibuka di Cheras dan Wangsa Maju.

Katanya, golongan asnaf yang terpilih menerima rawatan secara percuma di pusat hemodialisis itu manakala orang ramai juga boleh mendapat rawatan dengan kadar bayaran minimum - UTUSAN

No comments:

Post a Comment