My Add

Friday 1 March 2013

Malaysia perantara sesi dialog

 *NAJIB Tun Razak menyambut ketibaan Yingluck Shinawatra yang melakukan lawatan kerja sehari ke negara ini di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
Oleh Norliza Abd. Rahman dan Hashnan Abdullah
PUTRAJAYA 28 Februari, 2013: Malaysia akan menjadi perantara untuk sesi dialog ke arah proses damai antara kerajaan Thailand dan puak pemisah di selatan negara itu yang akan diadakan dua minggu lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkembangan itu berkata, seorang fasilitator bakal dilantik oleh Malaysia dalam kalangan pegawai kanan kerajaan sebagai perantara.

''Saya optimis dengan proses damai ini kerana wujudnya komitmen mendalam kedua-dua belah pihak bagi mencari keamanan yang berkekalan dan berpanjangan di wilayah bergolak itu,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian di dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menurut Najib, Malaysia akan meneruskan momentum yang telah wujud dan perjanjian muktamad akan dimeterai dalam masa terdekat sambil melahirkan keyakinan bahawa Yingluck akan menyokong proses damai itu.

Perkembangan proses damai di Selatan Thai, katanya, akan membawa kemakmuran di kawasan bersempadan dengan Malaysia itu dan dokumen yang telah dimeterai pagi ini menjadi titik permulaan kepada satu proses kedamaian.

''Penduduk di daerah itu berhak menikmati kehidupan yang lebih baik dan sudah sampai masanya sosioekonominya dibangunkan untuk memberi kebaikan kepada Malaysia dan Thailand, mudah-mudahan siri dialog ini berjaya," katanya.

Dokumen konsensus bagi penganjuran dialog itu telah dimeterai di mana Thailand bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerjasama di bawah kepimpinan Setiausaha Agung, Majlis Keselamatan Negara Thailand, Left. Jeneral Pharadorn Phatthanatabutr.

Mengulas lanjut mengenai pertemuannya bersama Yingluck, Perdana Menteri berkata, mereka berpuas hati dengan kerjasama dua hala dalam bidang pelaburan dan perdagangan yang terjalin sejak 2000, dengan tahun lalu mencatat angka AS$24 bilion (RM74.4 bilion).

Kata Najib, dua jambatan baru yang akan menghubungkan kedua-dua negara di Sungai Golok, Rantau Panjang akan dibina tidak lama lagi dan beberapa inisiatif lain juga sedang diusahakan untuk kemudahan penduduk di kawasan sempadan.

Mengenai kerjasama keselamatan di sepanjang perbatasan, Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan komitmen untuk mengawal sempadan terutamanya dalam membanteras penyeludupan manusia, penyeludupan senjata api dan penyeludupan dadah.

''Kerjasama dalam bidang pelancongan turut dibincang bagi mempromosikan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan kerana ini satu industri yang memberi pulangan besar kepada ekonomi kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Yingluck melahirkan penghargaan terhadap sokongan kuat yang diberikan oleh kerajaan Malaysia terhadap proses damai tersebut.

Beliau berkata, kerjasama dalam mencari penyelesaian konflik di Selatan Thailand itu penting dalam hubungan dua hala.

''Saya telah memberi jaminan kepada Najib bahawa kerajaan Thailand amat mengharapkan penyelesaian berpanjangan di wilayah selatan melalui pembangunan ekonomi.

''Saya turut menyatakan tentang usaha berterusan dalam mempromosikan keamanan dan kemakmuran di wilayah selatan menerusi pendekatan yang komprehensif," katanya.

Yingluck berkata, usaha ditumpukan untuk menamatkan keganasan dan mewujudkan suasana aman serta harmoni dalam kalangan rakyat Thailand di kawasan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment