My Add

Saturday 2 March 2013

PABM jadi wadah martabat bahasa Melayu

 *ROSMAH Mansor bergambar kenangan bersama peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 pada majlis resepsi di Seri Perdana, baru-baru ini. Seramai 77 peserta dari 72 negara antaranya Jepun, Rusia, Australia, Perancis, Afrika Selatan, Sudan, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Nepal dan China mengambil bahagian dalam PABM Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. - BERNAMA

PUTRAJAYA, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 mampu menjadi platform untuk mengangkat bahasa Nusantara itu ke persada dunia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, melalui PABM, bahasa Melayu dapat 'dieksport' dan diperkembang menggunakan saluran formal di institusi-institusi pengajian tinggi utama seluruh dunia.

Katanya, matlamat utama acara tahunan terulung sejak 2007 adalah untuk memartabatkan citra negara bangsa dan kedaulatan bahasa Melayu, justeru penganjuran PABM mesti diteruskan demi kelangsungan bahasa tersebut.

"Perdana Menteri semasa mencetuskan idea pertandingan ini mahu melihat satu usaha berterusan dijalankan bagi mengumpulkan para pelajar yang mendalami ilmu bahasa Melayu dari segenap penjuru dunia.

"Mereka seterusnya akan beradu kekuatan minda, bertanding bagi memilih seorang peserta yang terhebat untuk dinobatkan sebagai pemidato terbaik dalam bahasa Melayu di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Resepsi PABM di Kompleks Seri Perdana baru-baru ini.

Majlis ramah mesra dengan Isteri Perdana Menteri itu dihadiri seramai 77 pemidato PABM daripada 72 negara.

Rosmah berkata, bahasa Melayu pada masa kini semakin berkembang maju dan menjadi salah satu bahasa asing yang diminati di kebanyakan universiti terkemuka dunia.

"Bahasa Melayu juga sejak kebelakangan ini menjadi salah satu bahasa yang diminati untuk dipelajari khususnya di China, Korea Selatan, dan Jepun.

"Ini mungkin berpunca daripada pembangunan pesat sektor ekonomi negara di rantau Asia, di samping itu sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara iaitu kira-kira 300 juta orang adalah penutur asli bahasa Melayu," katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan keyakinan penganjuran PABM dapat menjadi wadah bagi kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu melalui bidang pengucapan awam.

"Selain itu, PABM juga mampu untuk memberi kesedaran dan keyakinan kepada orang Melayu itu sendiri bahawa bahasa Melayu masih dominan dan relevan walau di mana jua dan apa jua keadaan sekali pun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment