My Add

Saturday 2 March 2013

Penyertaan kali pertama bawa tuah

 *DERRICK Fernando Jaramillo dari Panama bergambar bersama Johan Kategori Nusantara dari Malaysia, Mohd Ikhwan Mohd Rosseli (kiri) bersama Piala Perdana Menteri pada pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya, baru-baru ini. - BERNAMA

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
PUTRAJAYA, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Penyertaan buat pertama kali peserta Panama, Derrick Fernando Jaramillo dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 ternyata membawa tuah apabila dia berjaya dinobatkan sebagai juara bagi kategori Antarabangsa.

Pemuda berusia 27 tahun yang menyampaikan pidato bertajuk Malaysia Di Hatiku itu berjaya membawa pulang pulang wang tunai bernilai RM21,700, Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah dan sijil.

Derrick yang dikenali dengan nama Melayu sebagai Mat Deris itu berkata, dia langsung tidak menyangka akan menjadi juara pertandingan yang berfungsi memartabat bahasa Melayu itu.

"Saya rasa bersyukur di atas kemenangan ini, saya amat tidak menjangkakannya.

"Terima kasih kepada tenaga pengajar, rakan-rakan dan semua pihak yang telah memberi tunjuk ajar kepada saya. Serta tidak lupa kepada pihak penganjur yang memberi peluang untuk menyertai PABM," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PABM yang telah diadakan pada Jumaat minggu lalu itu telah menyaksikan penyertaan seramai 77 peserta daripada 72 negara bermula dari 19 hingga 22 Februari lepas.

Antara negara terlibat, Australia, Amerika Syarikat (AS), Iran, Itali, Tanzania, Jepun, Poland, Rusia, Tadjikistan, Palestin, Singapura, Turki, dan Afghanistan.

Manakala untuk kategori Nusantara, peserta Malaysia, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli muncul juara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta itu.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, penyertaan kali kedua dalam pertandingan yang diadakan sejak 2007 itu ternyata membuahkan hasil.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi banyak tunjuk ajar selama ini.

"Selepas ini saya akan terus berusaha untuk memartabat bahasa Melayu dan ia tidak berhenti sehingga di sini sahaja," kata pelajar jurusan Syariah dan Undang-undang Sivil Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu.

Sementara itu, naib johan bagi kategori Antarabangsa dimenangi peserta China, Zhang Yaqi manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Jordan, Abdel Rahman Ibrahim Sulieman.

Bagi kategori Nusantara pula, peserta Indonesia, Muhammad Zulfadhli Razali memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Adi Ismat Lamat dari Brunei.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,500 dan RM9,300 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment