My Add

Saturday 16 March 2013

PPPM serius libatkan semua sekolah capai tahap antarabangsa

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
MUAR, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Proses penambahbaikan mutu pembelajaran dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah usaha serius kerajaan supaya pencapaian kesemua sekolah adalah setara atau melebihi piawaian di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha tersebut bukan sahaja melibatkan sekolah aliran kebangsaan malah turut memberi perhatian kepada sekolah aliran jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

"Ada yang kata PPPM seperti memberi tumpuan pada sekolah kebangsaan sahaja, mungkin kerana lebih besar. Tetapi sebenarnya sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil turut diberi perhatian agar dinaik taraf, begitu juga kepada sekolah mubaligh dan sekolah agama.

"Usaha ini mencabar bukan kerana lebih banyak bebanan kerja tetapi menuntut kecekapan dan kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam sistem pembelajaran kerana Internet juga membolehkan pelajar menambah ilmu pengetahuan di luar bilik darjah," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Pagoh serta Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bukit Pasir di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; ADUN Bukit Serampang, Datuk Tahir Ta'at; Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Wanita UMNO Pagoh, Senator Noriah Mahat; Guru Besar SK Sri Bukit Pasir, Sahardin Yusof dan Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Abd. Rahman Bohari.

Ahli Parlimen Pagoh itu kemudian menyerahkan kelengkapan sukan dan meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang sekolah tersebut.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai kepentingan sarana ibu bapa dan sarana sekolah yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 24 Februari lalu.

Menurut beliau, usaha mencapai mutu pendidikan lebih baik melalui penguasaan mata pelajaran teras oleh pelajar menuntut kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti itu sendiri.

"Anjakan kesembilan dalam transformasi pendidikan itu penting dan melibatkan penyertaan lebih aktif bagi mengenal pasti masalah pelajar dan sarana ibu bapa menjadi 'peralatan' yang diedarkan Kementerian Pelajaran sebagai panduan menambah baik prestasi pelajar.

"Sistem begini bukan baharu di negara kita, ada sekolah yang menjemput ibu bapa yang mahir dalam sesuatu bidang untuk melakukannya. Namun kita mahu sistem itu dijadikan proses baru di sekolah-sekolah yang lain," katanya.

Kata Muhyiddin, penglibatan aktif tersebut perlu dijalankan sepanjang masa dan bukan secara bermusim untuk memastikannya berkesan, malah peranan PIBG juga akan disusun semula supaya lebih 'bertenaga' berbanding kebiasaan sebelum ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment