My Add

Saturday 16 March 2013

RM1 bilion untuk projek penyuraian trafik Jambatan Kedua Pulau Pinang

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
BALIK PULAU, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan bernilai RM1 bilion untuk melaksanakan projek penyuraian trafik di Jambatan Kedua Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, projek itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 12 kilometer menerusi tiga pakej yang dijangka siap pada 2015.

"Kerajaan telah melakukan kajian terperinci berkaitan keperluan penduduk di negeri ini dan berpendapat perlunya kemudahan infrastruktur yang menyeluruh.

"Apabila jambatan kedua dibina, projek itu juga mesti disertakan dengan pelan cadangan untuk menyelesaikan masalah kesesakan apabila projek berkenaan siap kelak," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Laluan Persekutuan dari Teluk Kumbar ke Balik Pulau sepanjang 3.3 kilometer di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan ADUN Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM80 juta itu dimulakan pada 2005 dan dapat menampung sebanyak 60,000 kenderaan sehari dari Bayan Baru ke Balik Pulau selain memanfaatkan kira-kira 100,000 penduduk.

Selain itu, projek berkenaan juga menjimatkan masa perjalanan kepada 10 minit sahaja berbanding 30 minit sebelum ini.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, antara skop pembinaan laluan itu termasuk melebarkan jalan daripada 5.5 meter kepada 12.5 meter, tambahan lorong motosikal dan pembinaan enam struktur jambatan yang melengkung dan dua laluan memotong.

"Bagi memastikan projek ini tidak menjejaskan alam sekitar, kerajaan telah mengehadkan penebangan pokok dan pemotongan bukit. Hasilnya, pemandangan indah di sepanjang laluan ini dapat dikekalkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment