My Add

Monday 18 March 2013

SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu

Oleh NURUL AKMAR AIDA
KOTA BHARU, AAD, 17 Mac, 2013: Pelbagai pihak di negeri ini terus menyatakan sokongan mereka kepada pasukan keselamatan negara yang berjuang menentang pengganas Sulu di Sabah dengan melancarkan Tabung Wira Lahad Datu.

Antara yang mengambil inisiatif melancarkan tabung tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, Jalan Telipot di sini, bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu keluarga anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Tuan Mahmud Tuan Mat dengan dihadiri Guru Besar, Aidah Mohd. Salleh sempena Mesyuarat PIBG Ke-37 sekolah itu semalam.

Tuan Mahmud ketika ditemui kemudiannya berkata, sumbangan ini amat besar ertinya kepada keluarga anggota keselamatan yang gugur di medan perang kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu membiayai kos persekolahan anak-anak.

"Setakat ini sumbangan yang dapat dikumpul kira- kira RM1,200. Walaupun wang yang diperolehi tidak seberapa tetapi sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga untuk meneruskan hidup dan ini menunjukkan keprihatinan kita terhadap mereka.

"Kutipan sumbangan ini tidak terhenti setakat ini sahaja kerana akan diteruskan lagi pada minggu hadapan sehingga akhir bulan Mac dan kita akan mengutip sumbangan ini semasa perhimpunan sekolah, malah ibu bapa juga boleh mengirimkan melalui anak-anak kepada sekolah.

"Sumbangan sebegini perlu diberi oleh masyarakat kerana mengenangkan pengorbanan tentera untuk mempertahankan tanah air daripada diceroboh. Jika ada masyarakat yang tidak bersetuju dengan kerja kutipan derma ini ia adalah perbuatan yang tidak betul," katanya di sini semalam. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment