KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
PENDAFTARAN permohonan Bantuan Tunai RM500 akan dibuat mulai 10 Disember ini untuk tempoh satu bulan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembayaran Bantuan RM500 hanya akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari tahun depan.
Menurutnya, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta agensi-agensi Kerajaan.
''Borang yang lengkap diisi beserta salinan kad pengenalan, hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDN,'' katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Ahmad Husni, bantuan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini.
"Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion," katanya.
Pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lepas, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali, sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.
"Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat," kata Ahmad Husni.
Isi rumah yang layak memohon, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau ketua keluarga.
Ia merangkumi individu berkahwin, termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa; ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas sebatang kara.
Ketua isi rumah yang bekerja sendiri juga layak untuk memohon, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment