My Add

Thursday 1 December 2011

Ganda usaha, mantapkan jentera

PERWAKILAN berdiri dan memberikan tepukan gemuruh semasa Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan ucapan dasar dengan penuh bersemangat pada Persidangan Perwakilan Wanita UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR,KHAMIS, 01 Disember, 2011:
SEMUA pemimpin dan ahli Wanita UMNO diminta melipatgandakan usaha, memantapkan jentera parti dan melebarkan sayap agar terus menjadi pemain utama dalam meraih kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sekarang bukan masanya untuk leka dibuai angan- angan Mat Jenin dan berpeluk tubuh serta berasa selesa dengan apa yang telah dilaksanakan dan dicapai selama ini.

“Misi ini bukan suatu yang mudah untuk kita laksanakan. Hati nurani rakyat perlu diselami, masalah rakyat perlu diatasi, kesengsaraan rakyat perlu ditangani dan kesakitan rakyat perlu dirawati agar mereka terus menikmati kemakmuran negara yang sejati.

“Untuk itu, kita mesti pastikan jentera siap siaga dengan segala strategi, kemas dan lengkap di setiap peringkat. Tugas bancian sikap perlu dipergiatkan dan diberi fokus utama.

‘‘Di samping itu, kerjasama dengan rakan seperjuangan dalam BN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti diperhebatkan lagi demi memastikan semua isu diselesaikan dan tiada rakyat yang dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Shahrizat berkata, demi mendepani cabaran PRU Ke-13, semua ahli Wanita UMNO mesti mempunyai ketahanan diri dan disiplin tinggi serta bersatu hati, jiwa, perasaan, tenaga, visi dan misi bagi mencapai kemenangan.

Beliau turut mengingatkan supaya jangan ada hasad dengki, iri hati dan cemburu diri sesama ahli walaupun sekelumit kerana ia akan menjadi barah dan nanah yang bukan sahaja menghancurkan diri tetapi lebih akan melumpuhkan kekuatan parti.

“Jika semua ini dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan keikhlasan, kita mampu meraih persepsi rakyat dan memenangi hati mereka yang sentiasa mengharapkan pembelaan kita dan seterusnya mampu mencapai apa yang dihajatkan,” katanya.

Shahrizat berkata, seramai 1.3 juta ahli Wanita UMNO di semua peringkat sentiasa setia kepada parti dan pucuk pimpinan walaupun dalam apa juga cabaran dan akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangan dan survival parti termasuk menentang musuh supaya parti keramat orang Melayu itu terus gagah dan kukuh.

Menurutnya, Wanita UMNO sentiasa bersama pucuk pimpinan parti termasuk ‘menyingsing lengan’ untuk terus memperjuang hak rakyat dan survival parti serta bangsa Melayu.

‘‘Menyedari landskap politik masa kini yang amat mencabar dalam mencari undi, maka pergerakan itu mesti menggunakan formula baru dalam mengambil pelbagai inisiatif untuk memantapkan ahlinya menerusi pelaksanaan kursus dan latihan pembangunan kapasiti termasuk kursus bersifat upaya kendiri dan kepimpinan supaya ahli Wanita UMNO lebih kompeten dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi sebagai pemimpin dan role model yang berkesan,’’ katanya.

Beliau berkata, atas tanggungjawab, keutuhan dan kelangsungan parti, Wanita UMNO menerusi program Jalinan Rakyat kini menjadi semakin agresif untuk menarik minat dan menyedarkan rakyat mengenai hak mereka sebagai pengundi.

Selain itu, kata beliau, Skuad Sayang yang dibarisi Wanita UMNO dan Wanita komponen BN telah berjaya menyelusuri denyutan nadi dan mendekati rakyat menerusi pelbagai program kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

“Sumbangan dan kejayaan Skuad Sayang bukan sahaja dikagumi pemimpin parti, malah rakyat di peringkat akar umbi turut mensyukuri rahmat yang disediakan,” katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment