My Add

Thursday 1 December 2011

Pas diminta utamakan perpaduan Melayu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
PAS diminta mempertimbangkan kerjasama parti itu dalam pakatan pembangkang dengan keluar daripada gabungan berkenaan demi kepentingan perpaduan orang Melayu.

Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Padang Besar, Rossaliza Mohd Salleh (gambar) berkata, Pas seharusnya melihat isu perpaduan ummah di kalangan masyarakat Melayu dengan matang serta memikirkan ideologi pembangkang khasnya DAP yang jelas berbeza dengan perjuangan parti tersebut.

Katanya, Pas sebaliknya perlu sedar bahawa DAP hanya mahu menjadikan parti itu sebagai 'alat' untuk memecahbelahkan perpaduan dan kelangsungan kuasa politik Melayu untuk mencapai cita-cita politik mereka.

''Takkan Pas tidak boleh fikirkan siapa yang mendapat manfaat? Pas mengharapkan sesuatu daripada DAP sebaliknya juga yang diharapkan DAP daripada Pas tetapi akhirnya yang menang adalah DAP," katanya ketika menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di sini semalam.

Rossaliza dalam pada itu mengingatkan masyarakat Melayu bahawa rapuhnya perpaduan di kalangan mereka akan membuka peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk menangguk di air keruh dengan berusaha meminggirkan bangsa itu di tanah airnya sendiri.

Katanya, orang Melayu kini ibarat pokok kelapa yang baru condong dan binatang-binatang yang sebelum ini tidak berupaya memanjat pokok itu sedang berkira-kira untuk berbuat demikian.

''Percayalah, sekiranya orang Melayu terus bertelagah sesama sendiri tanpa secebis hasrat untuk bersatu, sudah pasti suatu hari nanti kita bukan sahaja kehilangan semua hak dalam perlembagaan malah tidak mustahil orang Melayu akan jadi pelarian di tanah airnya sendiri.

''Kita sebagai anak Melayu yang masih sayang kepada bangsanya sendiri tidak sanggup melihat perpaduan bangsa Melayu hanya tinggal sejarah dan perjuangan mereka atas dasar materalistik.

''Sebaliknya kita mahu melihat orang Melayu yang berani berjuang untuk agama, bangsa dan negara tercinta ini," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment