My Add

Thursday 1 December 2011

Melayu perlu bersatu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
ORANG Melayu perlu bersatu padu mempertahankan kepentingan dan kedudukan mereka bagi memastikan kelangsungan survival kaum tersebut di negara ini terjamin.

SYUKRI SHAARI memetik Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sebagai berkata, orang Melayu juga tidak mempunyai pilihan lagi selain bersatu semula demi menjaga kedaulatan agama Islam dan sistem raja-raja Melayu di negara ini.

"Kita (Melayu) tiada pilihan selain kembali bersatu demi memastikan bangsa, agama dan raja kita tidak terus dihina.

"Selain itu, kesatupaduan itu juga adalah demi kelangsungan kuasa politik Melayu pada hari ini, esok dan selamanya agar kita dapat terus memperjuang serta mempertahankan hak kita sebagai Melayu Islam demi masa depan anak cucu kita.

"Sekiranya kita bersatu bukan sahaja Melayu tidak hilang di dunia, malah lebih penting lagi ialah dunia Melayu tidak hilang di bumi sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Putera dan Puteri UMNO 2011 yang menekankan kepentingan untuk orang Melayu bersatu demi survival kaum berkenaan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, ucapan Muhyiddin itu merupakan satu peringatan kepada semua orang Melayu termasuklah di kalangan pihak pembangkang supaya menjaga kepentingan kaum tersebut.

Katanya, peringatan tersebut bukan hanya untuk ahli UMNO tetapi ia merujuk kepada orang Melayu secara keseluruhan tanpa mengira ideologi.

"Orang Melayu perlu menilai semula peranan mereka kepada bangsa. Mereka perlu bersifat lebih matang, melupakan ideologi masing-masing dan bersatu demi menjamin kelangsungan survival kaum tersebut di negara ini," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula berkata, ucapan tersebut bertujuan meniup semboyan semangat politik untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) yang semakin hampir.

"Oleh itu, Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO wajib menyahut cabaran Timbalan Presiden parti itu supaya benar-benar menjadi serikandi, panglima dan permata anak bangsa. Jangan jadi serikandi yang lupa diri, panglima yang bacul penakut dan permata yang hilang serinya,"ujarnya. 

No comments:

Post a Comment