My Add

Thursday 1 December 2011

Pas Kedah dicabar dedah jumlah pusat hiburan, rumah urut

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) mencabar kerajaan negeri itu menyatakan jumlah pusat hiburan dan rumah urut yang terdapat di Kedah sejak pembangkang yang diterajui Pas memerintah pada 2008.

Cabaran tersebut dilontarkan berikutan gesaan Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhammad Baderuddin Ahmad agar kerajaan negeri membuat pemantauan terhadap pertumbuhan pusat hiburan di negeri itu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Menurut beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan negeri itu kini dipimpin oleh sebuah parti yang mendakwa mendukung perjuangan Islam.

"Saya cabar Kerajaan Pas Kedah dedahkan berapa banyak rumah urut dan pusat hiburan dibina di Kedah? Adakah rumah urut itu diberi lesen dan apa pertimbangannya?

"Perkara ini sebenarnya sudah lama dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam Dewan, tetapi tidak pernah dijawab," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sheikh Muhammad Baderuddin dalam laporan sebuah akhbar hari ini, menggesa agar pemantauan dijalankan terhadap pertambahan pusat hiburan di negeri itu yang didakwa boleh mencalar imej negeri yang majoriti masyarakatnya beragama Islam.

Menurutnya, fenomena tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan rakyat Kedah memiliki pegangan Islam yang kuat dan ia dikhuatiri akan meninggalkan kesan yang tidak baik kepada rakyatnya.

Mukhriz menambah, gesaan itu adalah tepat pada masanya kerana daripada pemerhatiannya mendapati, pusat hiburan serta rumah urut bertambah dengan mendadak terutama di Alor Setar, Sungai Petani dan Merbok.

"Saya lihat ketiga-tiga tempat itu sudah jadi macam Kepong. Rumah urut boleh ditemui di mana-mana dan jumlahnya juga seakan bertambah secara mendadak berbanding sewaktu BN memerintah suatu ketika dahulu.

"Kami banyak terima aduan daripada masyarakat. Jadi, saya minta Kerajaan Pas Kedah jelaskan adakah mereka yang sebenarnya meluluskan lesen pusat hiburan dan rumah urut tersebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment