My Add

Thursday 1 December 2011

Pegawai polis 'Jutawan Bonuslink' pertama

SEREMBAN, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
SEBAHAGIAN besar daripada kita mungkin tidak pernah menang atau meraih hadiah dalam setiap pertandingan yang disertai.

Namun bagi Abdul Majid Abdul, 54, dia boleh dianggap sebagai individu yangsentiasa mempunyai tuah kerana telah tiga kali meraih hadiah dalam pertandingan anjuran Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dalam tempoh 14 tahun.

Hari ini, pegawai polis dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) itu diumum pemenang hadiah utama untuk minggu pertama peraduan '31 Juta Mata Ganjaran Bonuslink Untuk Dimenangi Setiap Minggu'.

Beliau membawa pulang satu juta mata ganjaran syarikat pemasaran kesetiaan, Bonuslink yang dia telah menjadi ahli lebih 15 tahun lalu.

Abdul Majid memberitahu, dia pernah meraih hadiah dalam pertandingan Spot and Win pada 1998 dan Weekly Cash Give Away Contest pada 2002.

"Saya gembira kerana menang lagi kali ini dan terima kasih kepada Shell dan Bonuslink," katanya ketika ditemui selepas majlis mengumumkan kemenangannya di Stesen Shell Arol Enterprise di Paroi dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Majid menerima hadiah tersebut yang disampaikan oleh Pengurus Wilayah Selatan, Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd., Joari Mohamad Jaafar.

Turut berkongsi kegembiraan itu ialah isteri beliau, Lina Jaafar, 54, dan dua anak mereka, Nur Jihan Ashikin, 25, dan Nazzhan Najwa, 14.

Abdul Majid berkata, beliau menyerahkan kepada isterinya untuk memilih barang-barang yang boleh ditebus dengan mata ganjaran yang dimenanginya itu.

Sementara itu, Joari berkata, 13,000 pemandu di seluruh negara berpeluang memenangi hadiah peraduan itu yang diadakan selama 13 minggu.

Menurutnya, pemandu hanya perlu mengisi petrol sekurang-kurangnya RM30 di mana-mana stesen Shell di seluruh negara dan menggunakan kad Bonuslink untuk melayakkan mereka menyertai peraduan tersebut.

"Musim percutian kali ini akan menjadi lebih ceria dengan pemegang kad Bonuslink berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan ini," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment