My Add

Thursday 1 December 2011

Sedia galas tanggungjawab

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melaungkan keyakinan tinggi bahawa ahli Pemuda hari ini sudah bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar termasuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Menurutnya, sebagai ahli yang dilatih, dididik dan diasuh dalam ‘kilang’ UMNO, ahli Pemuda sangat menepati calon boleh menang seperti yang sering ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, tambah beliau, Pemuda berharap menerusi konsep itu juga, tidak ada lagi calon yang dipilih atas dasar simpati mahu pun calon ‘kaki kabel’ sebaliknya dipilih berdasarkan merit serta keupayaan sebenar.

‘‘Kami menunggu dengan penuh kesabaran waktu dan giliran untuk tampil ke hadapan. Kami sama sekali tidak mendesak untuk mengganti yang lama, jauh sekali daripada mengaku sebagai terbaik daripada semua yang ada.

‘‘Cuma sekadar ingin menyatakan dengan satu suara dan harapan, intai dan jenguk-jenguk jualah Pemuda dalam memilih calon boleh menang akan datang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO 2011 bertajuk ‘Memacu Generasi, Melakar Transformasi’ di sini semalam.

Khairy dalam ucapannya turut melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah kelompok di dalam UMNO yang kononnya menyokong konsep calon boleh menang dan menganggap diri sebagai calon dengan kriteria tersebut.

Tetapi apabila harapan itu tidak kesampaian, katanya, sokongan serta sumbangan terhadap parti dibiar mati bersama angan-angan yang tidak menjadi.

‘‘Ini bukan bentuk mentaliti yang kita mahu. Kalau masih ada golongan sedemikian yang bukan sahaja terang-terang menyokong pembangkang tetapi juga memboikot secara senyap, yang langsung tidak membuat kerja, yang membawa diri merajuk sepi, yang menghilangkan diri, yang tidak keluar mengundi, kita minta tindakan tegas terhadap mereka kerana belot kepada parti,’’ katanya.

Begitu pun, kata Khairy, Pemuda pada akhirnya tetap percaya dan menaruh keyakinan tinggi kepada kebijaksanaan serta pertimbangan pucuk pimpinan parti dalam menentukan pilihan calon yang difikirkan layak sebagai calon boleh menang.

‘‘Ikrar kami kepada Presiden, sungguh pun Pemuda menaruh harapan untuk diberi peluang, kami tahu yang paling penting adalah untuk memenangi pilihan raya.

‘‘Oleh itu, walau apa jua pun keputusannya, Pemuda berikrar kepada Presiden parti, kami akan setia menyokong mana-mana calon yang dipilih demi maqasid yang lebih besar yakni kemenangan Barisan Nasional (BN),’’ katanya - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment