My Add

Friday 2 December 2011

10 cadangan penambahbaikan proses pilihan raya diluluskan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Sisember, 2011: 
DEWAN Rakyat meluluskan 10 cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya menerusi laporan awalnya hari inii untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini bebas dan adil. 

Laporan itu dibentangkan oleh Pengerusinya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang kemudiannya dibahaskan lapan wakil rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain penggunaan dakwat kekal, antara cadangan lain jawatankuasa itu ialah pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan; penukaran kawasan pendaftaran; pembersihan daftar pemilih dan pameran rang daftar pemilih tambahan.

Turut dicadangkan ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR. 

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Maximus berkata sebaik saja Dewan Rakyat meluluskan semua cadangan yang dikemukakan pihaknya, kini perkara berkenaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Maximus berkata, jawatankuasa itu amat berharap penggunaan dakwat kekal dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13, seperti yang terkandung dalam antara cadangan pihaknya. 

"Sebaik saja Dewan Rakyat meluluskan semua cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa, kini kita akan menyerahkan perkara berkenaan kepada SPR dan juga agensi lain yang berkaitan," katanya.

Penubuhan jawatankuasa itu diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Oktober lalu dan dianggotai sembilan Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas. 

Maximus berkata, pada masa sama pihaknya juga akan mengambil perhatian cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen ketika membahaskan perkara itu. 

"Pada mesyuarat akan datang, kita akan membincangkan (cadangan) yang dikemukakan dan selain itu kita juga mempunyai sesi pendengaran awam di Kuching, Sarawak pada Jumaat ini," katanya. 

Beliau berkata, jawatankuasa menjangkakan laporan akhir dapat dikemukakan pada awal April tahun depan. 



No comments:

Post a Comment