My Add

Friday 2 December 2011

Pelajar Malaysia di Indonesia dinasihat patuhi peraturan

JAKARTA, KHAMIS, 01 Disember, 2011:
PELAJAR Malaysia dinasihatkan mematuhi peraturan Indonesia berkaitan kewajipan mendapatkan sijil penduduk dan dokumen pengenalan tempatan bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun, berkata mereka sudah diberi penerangan mengenai perkara itu sebelum ini dan tidak seharus memandang ringan soal itu.

Beliau diminta mengulas peringatan oleh sepasukan pegawai Jabatan Pendaftaran Medan kepada beberapa mahasiswa Malaysia di Medan, Sumatera Utara semalam, kerana didapati tidak memiliki atau tidak membawa dokumen yang berkaitan.

Ketua jabatan itu, Drs Darussalam Pohan, memberi peringatan bahawa mahasiswa asing yang tidak memiliki atau tidak membawa dokumen berkenaan boleh dikenakan denda Rp100,000. 

Darussalam berkata, sikap mahasiswa asing seperti dari Malaysia yang menganggap tidak penting membawa dokumen itu tidak seharusnya berlaku kerana mereka kini tinggal di negara lain. 

"Jika pada 2012, mereka yang berada di Indonesia tidak menguruskan Surat Keterangan Tempat Tinggal (SKTT) untuk orang asing, mereka boleh didenda Rp100,000 sesuai dengan Undang-undang No 23 tahun 2006 mengenai Pentadbiran Kependudukan," katanya sebagaimana yang dilaporkan media tempatan. 

Undang-undang yang sama menyatakan bahawa orang asing yang sudah memiliki Izin Tinggal Tetap atau Izin Tinggal Terhad tetapi tidak membawa dokumen pengenalan yang dikeluarkan kepada mereka, juga boleh dikenakan denda Rp100,000.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Norlin Othman, berkata pihaknya turut membantu menyelesaikan beberapa kes dokumen pengenalan bagi pelajar Malaysia namun beliau berharap ejen pelajar itu dapat sentiasa membantu dalam urusan itu. 

Beliau juga berharap Kerajaan Malaysia dapat menempatkan seorang pegawai hal ehwal pelajar di Medan bagi memantau pelajar Malaysia di Medan dan sekitarnya yang berjumlah hampir 1,500 orang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment