My Add

Friday 2 December 2011

600 anggota polis jaga keselamatan LIMA 2011

ALOR SETAR, JUMAAT. 02 Disember, 2011: KIRA-KIRA 600 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Langkawi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA 11) yang dijadual bermula minggu depan.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, penempatan pegawai dan anggota itu yang bermula hari ini sehingga 12 Disember ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pulau pelancongan itu terjamin.

Katanya, penempatan anggota polis dilakukan lebih awal agar perkara berkaitan keselamatan terjamin memandangkan pengunjung tempatan dan luar negara meningkat sepanjang tempoh tersebut.

"Bagi memastikan keselamatan terjamin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari dua daerah iaitu Pulau Langkawi dan Kota Setar akan bekerjasama dalam soal kawalan keselamatan.

"Langkah keselamatan bermula ketika pengunjung mahu memasuki pulau itu melalui Jeti Kuala Kedah menerusi penempatan pegawai dan anggota berpakaian seragam dan preman," katanya selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah musim percutian ke Langkawi di Jeti Penumpang Kuala Kedah, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan.

Beliau menambah, aspek keselamatan bermula dari diri seseorang individu dengan mencegah daripada terdedah kepada perlakuan jenayah selain kesedaran tinggi terhadap pemanduan di jalan raya.

"Lazimnya hal berkaitan keselamatan melibatkan kehilangan barang peribadi termasuk beg yang ditinggalkan tanpa pengawasan.

"Pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati memandu di pulau pelancongan itu berikutan peningkatan jumlah kenderaan selain mereka mungkin tidak biasa dengan laluan di kawasan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Ahmad memberitahu, pihaknya mengedarkan cakera padat digital (DVD) berkaitan pencegahan jenayah kepada pengusaha feri untuk ditayangkan kepada penumpang mereka.

"DVD sepanjang 17 minit itu dapat membantu orang ramai mengenai aspek keselamatan. Diharapkan DVD itu dapat ditayangkan dalam feri mungkin 20 minit selepas bertolak dari jeti atau ketika mahu sampai ke destinasi," katanya.

No comments:

Post a Comment