KUALA LUMPUR, RABU, 28 Disember, 201: Polis menahan 69 wanita warga tempatan dan asing serta seorang mak nyah, yang dipercayai melakukan kegiatan pelacuran, semasa menyerbu dua kelab malam dan pub yang menawarkan hiburan tarian tiang di ibu negara awal pagi tadi.
Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah kelab di Jalan Changkat Thambi Dollah pada jam 1 pagi dan menahan 17 wanita warga Thailand, yang dipercayai menjadi penghibur seks.
"Turut ditahan seorang mak nyah warga Thailand yang menjalani pembedahan menukar jantina. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 21 dan 33 tahun.
"Seramai 14 lagi wanita warga tempatan turut ditahan dalam premis itu bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi kedua kemudian dilakukan dengan menyerbu sebuah pub berhampiran Menara PGRM pada jam 3 pagi dan menahan 37 wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang kesemuanya berusia antara 17 dan 50 tahun.
Azman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua premis hiburan itu menawarkan hiburan tarian tiang untuk menarik pelanggannya berdasarkan dua tiang yang ditemui di pentas dalam premis terbabit.
"Selain itu, pelanggan juga boleh ‘mengalungkan bunga’ kepada pelayan yang diminati dan kita percaya ini akan menjurus kepada kegiatan pelacuran,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti kalungan bunga diadakan dengan harga RM20 bagi setiap kalungan dan pelayan wanita itu akan mampu memperoleh 'tips' sehingga RM1,000 oleh pelanggan yang meminati mereka.
"Mereka ini akan dipakaikan jubah khas berharga RM1,000 jika diminati oleh pelanggan dan mereka akan menjadi pelayan paling popular pada malam itu. Kita juga masih menyiasat pembabitan wanita warga tempatan itu," katanya.
Azman berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua premis yang diserbu beroperasi sejak sebulan lalu dan tidak mempunyai lesen perniagaan sah.
Beliau berkata, operasi itu berakhir kira-kira jam 4 pagi dan mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Akta Hiburan (tiada lesen) dan Akta Imigresen (membenarkan warga asing kerja tanpa permit). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment