My Add

Friday 2 December 2011

Ambil peringatan mesej Presiden

NAJIB Tun Razak dan Muhyiddin Yassin ketawa mendengar perbahasan daripada wakil Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Tun Said ketika Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. –   BERNAMA


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011:
UCAPAN dasar Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 merupakan peringatan kepada setiap ahli supaya mempersiapkan minda dan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk mesej Najib mengenai perbezaan antara menjadi ahli UMNO dengan orang UMNO yang menuntut kepada kesediaan untuk berjuang dan berkorban demi parti.

‘‘Presiden tekankan yang penting kita harus jadi orang UMNO dengan nilai dan sifat yang baik serta memahami dan mengetahui erti perjuangan. Ini ditegaskan supaya kita mengamalkan sikap setia kepada parti, menghormati kepada pimpinan dan bertanggungjawab.

‘‘Ini supaya kita bukan sahaja jadi ahli tetapi yang penting jadi orang UMNO yang sebati dengan perjuangan. Sebab itu, kita harus anggap ini satu peringatan daripada Presiden,’’ katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, 10 Game Changer yang digariskan Najib mempunyai banyak signifikan kepada perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ini seharusnya diberi perhatian oleh seluruh ahli UMNO terutamanya yang menyentuh generasi muda dan perubahan dari segi kerangka pemikiran rakyat sekarang.

‘‘Beliau telah beri amaran kalau kita tidak insafi akan perubahan ini, UMNO akan berhadapan satu situasi yang amat mencabar sekali. Ini kenyataan yang bagi saya amat perlu kita beri perhatian,’’ jelasnya.

Tambah Muhyiddin, ucapan Najib itu juga amat padat dengan mesej kepada seluruh rakyat jelata yang memperlihatkan komitmen beliau untuk membawa Malaysia kepada masa depan lebih hebat.

‘‘Saya ucapkan tahniah kepada Presiden kerana menyampaikan ucapan yang penuh inspirasi, jelas dan tegas. Yang ini tentulah dianggap antara ucapan terbaik Presiden dalam mana-mana perhimpunan,’’ jelasnya. - UM

No comments:

Post a Comment