My Add

Friday 2 December 2011

Rasis: TPM selar media propembangkang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011:
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar media propembangkang yang menuduh ucapannya pada perasmian persidangan sayap-sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 sebagai rasis.

Sebaliknya beliau berkata, kumpulan media terbabit 100 kali lebih rasis kerana mereka tidak pernah mahu memahami mesej disampaikannya di dalam ucapan tersebut iaitu UMNO sanggup berkongsi kuasa bersama kaum lain demi kesejahteraan rakyat dan negara ini.

Kata beliau, berbanding pihak lain, sehingga hari ini tidak ada bukti yang mereka sanggup bekerjasama dan berkongsi kuasa seperti mana dilakukan oleh UMNO dan parti-parti komponen lakukan.

''Sebagai Timbalan Presiden saya telah menyuarakan satu perkara yang bukan luar biasa. Saya pentingkan kesedaran Melayu kerana bagi saya hanya melalui gaya politik UMNO sahaja yang membolehkan orang Melayu bersatu sesama orang Melayu dan orang Melayu bersatu dengan kaum-kaum lain.

''Namun dalam media-media tertentu yang saya juga baca, mereka kata kita rasis tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka 100 kali lebih rasis daripada kita," katanya pada sidang akhbar selepas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas laporan portal propembangkang kononnya beliau menggunakan isu perkauman bagi memenangi hati rakyat ketika dalam ucapannya kelmarin.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman mikro 'twitter' pula mendakwa kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai ibu segala penipuan dan perkauman.

Dalam perkembangan berkaitan Muhyiddin berkata, berdasarkan pengamatannya, mereka yang terlalu rasis sahaja akan sewenang-wenangnya menuduh pihak lain sebagai rasis.

''Satu perkara yang perlu disebut di sini, isu yang sengaja ditimbulkan itu telah pun kita andaikan. Mereka sebenarnya tidak faham apa maksud rasis. Seperti mana kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO bukan rasis.

''UMNO bukan sebuah parti yang membela nasib satu kaum sahaja tetapi UMNO juga merupakan sebuah parti yang membela nasib semua kaum," katanya.

Justeru, beliau berkata, tidak seharusnya ada pihak yang dengan mudah menuduh tindakan UMNO mempertahankan Melayu sebagai rasis kerana Presiden UMNO dalam ucapannya telah menegaskan bahawa sejarah telah membuktikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang sanggup berkongsi kuasa dengan kaum lain.

''Walaupun dalam sejarah dahulu dalam satu peringkat UMNO boleh menubuhkan kerajaan sendiri sebagai contoh dalam pilihan raya pertama dahulu tetapi kita tidak berbuat begitu. Kita sanggup berkongsi kuasa.

''Dalam fasa-fasa pilihan raya selepas itu ada satu ketika UMNO mempunyai lebih 51 peratus kerusi dalam Parlimen tetapi kita tetap berkongsi kuasa.

''Ini bukan dibuat sesekali sahaja tetapi sepanjang masa iaitu sejak 54 tahun lalu," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa ucapannya pada malam itu adalah semata-mata mahu memperkukuhkan semula kesedaran di kalangan orang Melayu khususnya di kalangan tiga sayap UMNO supaya lebih fokus iaitu mereka bukan sahaja memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi turut memperjuangkan nasib kaum lain.

Menjawab soalan lain Muhyiddin berkata, UMNO tidak pernah mengharapkan pembangkang memuji parti itu.

''Kita buat betul pun tidak pernah puji dan bagi kita itu biasalah. Sebagai ahli parti dan pejuang dalam UMNO tidak kira dalam apa keadaan sekalipun sama ada datang daripada parti pembangkang serta media sosial propembangkang, kami akan teruskan (membela rakyat)," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment