My Add

Friday 2 December 2011

DAP dicabar ambil tindakan disiplin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011:
DAP dicabar mengambil tindakan disiplin ke atas Nga Kor Ming sekiranya mereka ikhlas dan bertanggungjawab di atas perbuatan Setiausaha DAP Perak itu yang mengeluarkan kenyataan berbaur rasis kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan itu wajar atas dasar tanggungjawab DAP sebagai warganegara Malaysia yang menghormati perpaduan dan atas prinsip kesopanan serta kesusilaan seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara.

''Saya melihat permohonan maaf itu tidak boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian dengan apa yang telah dilontar kepada Zambry. Ini mungkin helah dan permainan politik oleh DAP.

''Hanya tindakan disiplin yang boleh membersihkan imej Menteri Besar Perak yang ditohmah dan dicaci oleh pemimpin DAP Perak itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau mengulas permohonan maaf Kor Ming semalam setelah mendapat kecaman hebat pelbagai pihak kerana menggelarkan Zambry sebagai 'hitam metalik'.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dilaporkan berkata demikian pada satu ceramah di Perak pada 9 November lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali turut mendesak DAP mengambil tindakan disiplin ke atas Kor Ming.

Namun katanya, Perkasa berpandangan DAP tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Kor Ming berdasarkan apa yang berlaku ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.

''Kita tidak peduli sama ada DAP akan mengambil tindakan atau tidak, namun kita percaya mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Kor Ming," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment