My Add

Friday 2 December 2011

3.7 juta rakyat belum daftar

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011: 
MANA-MANA pihak yang ‘sibuk’ membuat pelbagai cadangan bagi membolehkan pengundi luar negara menunaikan tanggungjawab mereka tanpa perlu pulang ke tanah air sepatutnya menumpukan usaha untuk mendaftarkan kira-kira 3.7 juta rakyat negara ini yang masih belum berbuat demikian.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana rakyat Malaysia yang menetap di luar negara hanya berjumlah 25,000 orang mengikut rekod yang dikeluarkan Wisma Putra.

Bagaimanapun, jelasnya, tidak semua daripada mereka yang berdaftar di kedutaan masing-masing itu adalah pengundi.

‘‘Bayangkan berapa banyak wang terpaksa dibazirkan hanya untuk menghantar kertas undi kepada setiap pengundi di luar negara. Contohnya, jika pengundi itu berada di Amerika Syarikat, kos penghantaran untuk satu kertas undi kira-kira AS$70 (RM217).

‘‘Justeru, kita menasihati pengundi yang berada di luar negara untuk pulang ke tanah air demi melaksanakan tanggungjawab ini. Apa salahnya berbuat demikian hanya untuk setiap lima tahun sekali.

‘‘Di samping itu, adalah lebih baik semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berusaha mendaftarkan 3.7 juta rakyat negara ini,” katanya, lapor SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini semalam.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan membentangkan laporan awalnya yang mengandungi 10 cadangan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini bertujuan memastikan proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara bebas dan adil.

Antara 10 cadangan yang dikemukakan ialah berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya itu; pengundian awal; pengundi berada di luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.

Wan Ahmad berkata, SPR bagaimanapun akan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang akan dipinda jika 10 cadangan yang dikemukakan itu diluluskan Parlimen nanti.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 10,558 petugas pilihan raya akan dilantik sepanjang pilihan raya umum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu negeri yang dianggap paling mencabar.

‘‘Seramai 760,119 pemilih berdaftar di Kuala Lumpur untuk 12 kawasan Parlimen membabitkan 12 pegawai pengurus dan 31 orang penolong pegawai pengurus telah dilantik,’’ katanya. - UM

No comments:

Post a Comment