My Add

Saturday, 17 December 2011

Dua solat Jumaat satu kariah

SULTAN Mizan Zainal Abidin menandatangani plag simbolik merasmikan Masjid Raja Cendering yang ditukar nama kepada Masjid Sultan Ismail di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir Tengku Muhammad Ismail (dua dari kanan), Tengku Muhammad Mua'az (dua dari kiri) dan Ahmad Said.
KUALA TERENGANU, SABTU, 17 Disember, 2011:Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di negeri ini tanpa kebenaran pemerintah.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Titah baginda, masalah tersebut berlaku disebabkan tiada persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah yang dihadapi sesama umat Islam itu sendiri.

Justeru, Sultan Mizan menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar mencari jalan penyelesaian demi kedamaian serta kemurnian hubungan antara pihak-pihak yang bertelagah.

“Masalah ini menyebabkan agama Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda dan umat Islam dihina dan dipermainkan.

“Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini.

“Oleh itu, beta menyeru rakyat sekelian supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak bertelagah agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Raja Chendering yang kini dikenali sebagai Masjid Sultan Ismail di sini.Radhuan Hussain

Keberangkatan Sultan Mizan diiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail. Turut hadir, putera baginda, Tengku Muhammad Mua‘az; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta para pembesar dan kenamaan negeri.

Baginda turut mengajak umat Islam agar mengambil iktibar daripada tema sambutan Awal Muharam tempoh hari iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah yang menuntut umat Islam sentiasa bersatu padu dalam jemaah berdasarkan tuntutan al-Quran.

Malah, baginda juga menyeru umat Islam supaya menjadikan peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah sebagai pengajaran apabila berjaya menyatukan dua golongan yang bertelagah iaitu Aus dan Khazraj.

Dalam pada itu, Sultan Mizan yang baru menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 serta dua putera baginda turut menunaikan solat Jumaat bersama-sama lebih 1,000 jemaah di masjid berkenaan.

Masjid Sultan Ismail yang mula dibina baru sejak 2008 dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta siap sepenuhnya pada Mei lalu dan ia merupakan antara 491 buah masjid yang terdapat di Terengganu. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment