My Add

Saturday, 17 December 2011

TNM dijenamakan, RM5j terbit karya

NAJIB Tun Razak menyampaikan anugerah Tokoh Pena kepada Baharuddin Zainal sambil diperhati oleh Presiden Pena, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (dua dari kanan) pada perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Himpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi merancakkan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat selama dua tahun iaitu RM3 juta pada tahun ini dan RM2 juta pada tahun hadapan.

Tambah beliau, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

"Bagi membolehkan matlamat ini dapat direalisasikan secepat mungkin, kerajaan mengambil keputusan agar peranan ITNM diperluaskan iaitu selain menjadi peneraju dalam industri terjemahan, agensi ini juga akan bertanggungjawab menerbitkan karya asli dengan nama dan penjenamaan baru iaitu Institut Terjemahan Dan Buku Malaysia (ITBM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan jubli emas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga di sini, malam tadi.

Menurut Najib, kerajaan yakin ITBM berupaya menguruskan peruntukan yang diberikan bagi memastikan karya asli penulis muda yang telah diterima dapat diterbitkan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Tambah beliau, kerajaan juga mengharapkan Pena sebagai 'pemegang saham' dalam peruntukan itu dan dapat turut melaksanakannya dengan menyaring serta memantau isi kandungan yang bakal dihasilkan penulis muda.

"Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada Pena sebagai sokongan terhadap peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pertubuhan ini," katanya.

Najib menambah, kerajaan turut menyedari proses rumit percetakan yang sedikit-sebanyak melambatkan tempoh masa penerbitan sesebuah buku. Justeru kata beliau, sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) telah bersetuju membentuk kerjasama strategik bersama ITBM dan Pena. - UM

No comments:

Post a Comment